Penumpang dari Israel diejek, 'diboo' ketika tiba di Lapangan Terbang Paris

PARIS – Sekumpulan penumpang dari Israel yang tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris menerima ejekan dan sorakan sinis daripada orang ramai sebaik sahaja mereka mendarat dari Tel Aviv.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada Ahad dan tular menerusi beberapa rakaman video di media sosial, yang menunjukkan sekumpulan individu menjerit serta mengejek ketibaan penumpang terbabit ketika mereka melalui balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.
Difahamkan, sebahagian penumpang terbabit merupakan rakyat Israel yang meninggalkan negara itu berikutan kebimbangan terhadap konflik yang semakin memuncak di Gaza serta ancaman serangan balas dari Iran dan kumpulan proksi serantau.
Tindakan orang ramai mengejek mereka dipercayai berkait rapat dengan sentimen marah terhadap serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Perancis mahupun Israel berhubung insiden berkenaan.
Insiden tersebut mencerminkan semakin meluasnya kecaman masyarakat antarabangsa terhadap tindakan tentera Israel dalam konflik di Asia Barat, terbaharu membabitkan Israel dan Iran.
Perkembangan konflik Israel-Iran menyaksikan angka korban meningkat apabila dilaporkan seramai 224 orang di Iran telah terkorban sejak serangan Israel bermula pada Jumaat lalu.
Pada hari sebelumnya, Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan seramai 78 orang terkorban dan lebih 320 lagi cedera.
Sementara itu, di Israel, perkhidmatan kecemasan Magen David Adom memaklumkan bahawa serangan peluru berpandu Iran sepanjang malam dan pagi Ahad telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.
Ini menjadikan jumlah korban di Israel meningkat kepada 13 orang. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

