Stor haram diserbu, 720kg minyak masak peket ditemui

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak peket yang disembunyikan di sebuah rumah di Teluk Kurin, Buntong di sini.
Serbuan menerusi Op Tiris 3.0 sekitar jam 2 petang pada Isnin itu mendapati rumah berkenaan dijadikan stor simpanan minyak masak peket sejak seminggu lalu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 720 kilogram minyak masak peket disimpan tanpa sebarang permit atau lesen sah.

"Seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai penyewa rumah berkenaan, telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM1,800," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurut Kamalludin Ismail, pihak kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam penyimpanan dan penyelewengan barang kawalan tanpa kebenaran.

Tambah beliau, individu atau syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda maksimum sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan berikutnya untuk individu, manakala syarikat pula boleh didenda hingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan ulangan.
"KPDN Perak kini mempertingkatkan operasi melalui inisiatif 'Kita Gempur' sebagai gerakan strategik membanteras penyelewengan dan manipulasi perniagaan termasuk dalam sektor e-dagang serta aktiviti monopoli atau kartel," katanya.
KPDN turut menyeru kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan barangan kawalan melalui WhatsApp: 019-848 8000; portal e-aduan https://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan: 1-800-886-800 atau aplikasi EZ ADU KPDN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

