Perlukah akta hukum syarikat sebabkan kematian di jalan raya?

Keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Khairul Akmal, Ahmad Fitri, Mohamad Syafiq, Ahmad Darwis
Keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Khairul Akmal, Ahmad Fitri, Mohamad Syafiq, Ahmad Darwis
A
A
A

BARU-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan satu akta baharu seperti yang diamalkan di United Kingdom (UK) menerusi UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007 (Akta Pembunuhan Korporat dan Homisid Korporat UK 2007).

Menurutnya, akta tersebut membolehkan sesebuah syarikat didakwa atas kegagalan serius dalam cara mereka menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam serta kecuaian yang menyebabkan kematian.

Katanya, akta berkenaan diwujudkan di UK sebagai tindak balas terhadap beberapa kes kematian di tempat kerja di mana tiada pihak korporat dapat dipertanggungjawabkan secara jenayah di bawah undang-undang sedia ada.

Isu ini mengundang pelbagai reaksi ekoran ada pihak menyatakan perkara tersebut perlu memandangkan syarikat juga memikul tanggungjawab yang setimpal apabila berlaku tragedi yang meragut nyawa.

Bagaimanapun, sesetengah pihak berpandangan meletakkan beban tanggungjawab ke atas syarikat semata-mata walaupun mereka tidak berada di tempat kejadian adalah tidak adil.

Sokong

Nyawa lebih utama daripada kepentingan korporat

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan sama ada awam mahupun komersial mempunyai tanggungjawab langsung terhadap keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya.

Kegagalan dalam menjalankan tanggungjawab ini bukan sekadar kesilapan teknikal, tetapi boleh dianggap sebagai kecuaian yang membawa padah.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya syarikat gagal menyelenggara kenderaan dengan baik, membenarkan pemandu bekerja dalam keadaan letih atau tidak mematuhi syarat-syarat keselamatan, akibatnya boleh membawa maut.

Malangnya, dalam banyak kes, tanggungjawab ini tidak dipikul oleh syarikat, sebaliknya pemandu atau pekerja dipersalahkan sepenuhnya.

Syarikat terlepas daripada sebarang hukuman jenayah, walaupun mereka secara tidak langsung menjadi penyebab kepada kemalangan. Keadaan ini jelas tidak adil dan menunjukkan betapa kepentingan korporat lebih diutamakan daripada keselamatan nyawa.

Jadi, cadangan untuk memperkenalkan akta baharu yang membolehkan syarikat korporat didakwa secara jenayah sekiranya kecuaian mereka menyebabkan kematian adalah satu langkah yang tepat dan wajar.

- Jurutera, Khairul Akmal Barkawi, 42

Beri keadilan kepada mangsa

Saya menyokong untuk akta baharu itu diperkenalkan. Ia penting kerana dapat melindungi mangsa yang terlibat.

Walaupun pemandu hanya menjalankan tugasnya, dia yang selalunya dipersalahkan sepenuhnya, sedangkan kecuaian sebenar seperti kerosakan kenderaan berpunca daripada pihak syarikat yang tidak menyelenggara dengan baik.

Situasi ini menjadikan mangsa seolah-olah kambing hitam bagi menutup kelemahan pengurusan syarikat.

Dalam banyak kes kemalangan besar, keluarga mangsa terpaksa berdepan kesengsaraan berganda apabila tiada pihak korporat diheret ke muka pengadilan.

Dengan adanya akta baharu, ia membuka ruang keadilan kepada mangsa dan memberikan mesej tegas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan atas nama keuntungan perniagaan. Sekurang-kurangnya keadilan dapat ditegakkan dan sistem perundangan melindungi mangsa.

- Pekerja Swasta, Ahmad Fitri Mohd As'ri, 24

Bangkang

Beban tanggungjawab bukan kepada syarikat semata-mata

Pada saya, kemalangan jalan raya sering melibatkan pelbagai faktor termasuk kecuaian pemandu, keadaan jalan, cuaca dan sikap pengguna jalan raya.

Meletakkan beban tanggungjawab ke atas syarikat semata-mata, walaupun mereka tidak berada di tempat kejadian, adalah tidak adil.

Pemandu yang cuai atau melanggar undang-undang jalan raya sewajarnya dipertanggungjawabkan secara individu di bawah undang-undang sedia ada.

Dalam kebanyakan kes, pemandu bertindak atas keputusan sendiri seperti memandu laju, melanggar lampu isyarat atau menggunakan telefon bimbit semasa memandu yang dilihat jelas merupakan pelanggaran undang-undang dan etika jalan raya.

Maka, adalah tidak adil untuk mendakwa pihak syarikat jika pemandu sebagai individu dewasa dan berlesen, mengambil keputusan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

Undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah pun menyediakan peruntukan bagi mendakwa individu yang cuai sehingga menyebabkan kematian.

Malah, dalam kes tertentu, syarikat boleh dikenakan tindakan sivil atau pentadbiran sekiranya wujud bukti kelalaian dalam aspek penyelenggaraan kenderaan atau pengurusan jadual kerja pemandu.

- Penjaga Jentera Elektrik, Mohamad Syafiq Amir, 34

Mungkin bertindih dengan undang-undang sedia ada

Bagi saya, mewujudkan akta baharu mungkin akan bertindih dengan undang-undang sedia ada dan menyebabkan kekeliruan perundangan.

Malaysia memiliki peruntukan undang-undang yang kukuh melalui Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman terhadap individu yang menyebabkan kematian kerana kecuaian.

Selain itu, Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya termasuk pemandu, pengusaha kenderaan dan pemilik syarikat pengangkutan.

Tambahan pula, sekiranya wujud bukti bahawa syarikat gagal memastikan keselamatan atau tidak menyelenggara kenderaan dengan baik, mereka boleh dikenakan tindakan sivil termasuk pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa.

Oleh itu, tanpa akta baharu sekali pun, pihak syarikat tetap boleh dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang.

- Eksekutif Pembantu Hartanah, Ahmad Darwis Mahmod, 36

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!