Perang dron ubah landskap konflik moden

Penggunaan dron dalam konflik bersenjata kini menjadi norma baharu dalam peperangan moden yang menyaksikan teknologi UAV digunakan secara meluas oleh kuasa besar dan negara terlibat konflik.
Penggunaan dron dalam konflik bersenjata kini menjadi norma baharu dalam peperangan moden yang menyaksikan teknologi UAV digunakan secara meluas oleh kuasa besar dan negara terlibat konflik.
A
A
A

PARIS - Penggunaan dron dalam konflik bersenjata kini menjadi norma baharu dalam peperangan moden yang menyaksikan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) digunakan secara meluas oleh kuasa besar dan negara terlibat konflik.

Sejak beberapa tahun lalu, peperangan telah menyaksikan transformasi ketara apabila serangan udara tidak lagi memerlukan kehadiran juruterbang.

Dron bersenjata yang menjadi 'ancaman senyap' kini mampu melakukan serangan tepat ke atas sasaran penting dari jarak jauh selain menjalankan misi peninjauan dan peperangan elektronik.

UAV digunakan dalam konflik berterusan di Ukraine, Rusia, Asia Barat dan Afrika Utara.

Kiev dan Moscow yang berperang sejak lebih tiga tahun lalu menggunakan ribuan dron untuk saling berbalas serangan serta melakukan aktiviti pengintipan.

Di Yemen pula, pemberontak Huthi didakwa melancarkan serangan dron terhadap sasaran di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Konflik terbaharu melibatkan perang proksi antara Iran dan Israel juga menggunakan dron untuk operasi rentas sempadan, serangan terhadap infrastruktur dan sasaran strategik musuh.

Penggunaan dron komersial yang diubah suai bagaimanapun membimbangkan komuniti antarabangsa kerana kosnya yang rendah, namun memberi impak yang besar.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan UAV dapat meminumkan kematian anggota tentera di medan perang.
Penggunaan UAV dapat meminumkan kematian anggota tentera di medan perang.

Penganalisis pertahanan memberi amaran bahawa peningkatan penggunaan UAV boleh menjejaskan kestabilan global terutama apabila teknologi tersebut mudah diperoleh dan sukar dijejaki.

Lebih membimbangkan, perkembangan dron autonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI) berpotensi mencetuskan era baharu peperangan tanpa kawalan manusia.

Susulan ancaman yang kian meningkat, banyak negara berlumba-lumba membangunkan sistem pertahanan antidron yang lebih canggih.

Selain itu, komuniti antarabangsa juga menuntut pelaksanaan undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan senjata tersebut memandangkan serangan dron boleh dianggap sebagai tindakan agresif atau provokasi berbahaya.

AS jadi pelopor

Amerika Syarikat (AS) merupakan negara pertama menggunakan UAV dalam peperangan, sekali gus menjadi pelopor kepada perang dron moden.

Selepas serangan tragedi 9/11, Washington mula menggunakan dron bersenjata seperti MQ-1 Predator untuk memburu dan membunuh suspek pengganas di luar medan perang tradisional.

Serangan dron pertama yang diketahui umum dilancarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Afghanistan menyasarkan pemimpin al-Qaeda pada 2002.

Penggunaan dron kemudiannya meningkat secara drastik di Pakistan, Yemen, Somalia dan Iraq sebagai 'pengganti' misil kerana kos yang lebih rendah serta dapat dikawal secara langsung atau autonomi.

Setelah AS membuktikan keberkesanan dan kecanggihan dron, negara lain mula membangunkan serta menggunakan dron mereka sendiri.

Antaranya, Israel yang kini menjadi pengeluar dan melancarkan dron tempur paling aktif terutamanya dalam kempen pencerobohan di Syria, Lubnan dan Genting Gaza.

Iran juga dikatakan membina armada dron dengan kos lebih murah untuk perang proksi yang mana ia didakwa menyalurkan teknologi tersebut kepada pejuang Hizbullah dan Huthi yang berada di bawah paksi penentangan anti-Israel.

Sementara itu, Rusia dan sekutunya, China pula sedang mengejar kemajuan dalam bidang dron bersenjata dan autonomi.

Peperangan moden kini menyaksikan penggunaan UAV berskala besar kerana ia lebih fleksibel dan sukar dikesan dalam radar yang bakal mengubah zon konflik menjadi pertempuran antara mesin dengan mesin. - Agensi

Sejarah ringkas perang dron

1. Awal Abad ke-20 – 1940-an

Perang Dunia Pertama & Kedua: Idea UAV mula muncul seperti sejenis torpedo terbang (Kettering Bug) oleh AS pada 1918.

>Pada 1930-an–1940-an, UAV mula digunakan sebagai sasaran latihan menembak.

2. Perang Dingin (1950–1980-an)

>AS dan Kesatuan Soviet (USSR) membangunkan UAV untuk misi peninjauan. Sebagai contoh, Ryan Firebee (AS) digunakan ketika Perang Vietnam. Fokus pada masa itu adalah pengumpulan maklumat tanpa mempertaruhkan nyawa juruterbang.

3. Era Moden Awal (1990-an – awal 2000-an)

>Kosovo (1999):Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggunakan dron seperti RQ-1 Predator untuk misi pengawasan.

>Perang Afghanistan dan Iraq (selepas 2001): Dron bersenjata seperti MQ-1 Predator digunakan untuk menyerang sasaran militan.

>Dron digunakan oleh CIA dan tentera untuk operasi 'pembunuhan sasaran'.

4. Evolusi Pesat (2010–kini)

>Dron bersenjata seperti MQ-9 Reaper menjadi simbol utama perang moden AS.

>Negara lain seperti Rusia, Turkiye, China, dan Iran turut membangunkan UAV.

>Konflik di Syria, Libya, Nagorno-Karabakh (2020) dan Ukraine-Rusia (2022–kini) menyaksikan penggunaan besar-besaran dron untuk aktiviti peninjauan dan serangan agresif.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!