Warganet ASEAN bersatu lancar 'perang maya' terhadap peminat K-pop rasis Korea Selatan

JAKARTA – Pengguna media sosial dari beberapa negara Asia Tenggara dilaporkan saling bersatu melancarkan ‘perang maya' terhadap warganet Korea Selatan susulan kontroversi melibatkan peminat tegar K-Pop ketika konsert DAY6 di Malaysia.
Isu tercetus apabila seorang peminat dari Korea Selatan yang mengendalikan akaun khas untuk merakam dan memuat naik gambar artis – atau lebih dikenali sebagai akaun peminat tegar (fansite) didakwa melanggar peraturan penggunaan kamera semasa konsert berkenaan.
Teguran yang dibuat oleh netizen Malaysia terhadap tindakan itu bagaimanapun menerima reaksi balas daripada sebahagian peminat K-pop Korea Selatan.
Keadaan menjadi tegang apabila beberapa komen yang didakwa berunsur perkauman dilemparkan terhadap netizen Asia Tenggara.
Kenyataan tersebut mencetuskan kemarahan warganet dari Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina yang kemudiannya bersatu mempertahankan maruah komuniti serantau.
Hashtag berkaitan isu itu pantas trending di platform X, dengan tanda pagar #SeaSibling muncul sebagai simbol solidariti Asia Tenggara.
Istilah berkenaan digunakan bagi menzahirkan semangat persaudaraan serantau serta menolak sebarang bentuk penghinaan berasaskan kaum dan negara.
Dalam perkembangan sama, nama pelakon Indonesia, Baskara Mahendra turut terseret selepas foto profilnya didakwa dihina oleh sebuah akaun provokatif yang dipercayai milik pengguna Korea Selatan.
Perkara itu memperluas lagi gelombang reaksi balas dalam talian.
Pemerhati media sosial menyifatkan insiden tersebut sebagai bukti pengaruh besar komuniti digital Asia Tenggara yang semakin lantang mempertahankan identiti dan maruah bersama.
Namun, mereka turut mengingatkan agar pengguna media sosial tidak terjebak dalam provokasi berpanjangan yang boleh menjejaskan hubungan antara masyarakat kedua-dua rantau.- Agensi
Ringkasan AI
- Pengguna media sosial dari Asia Tenggara bersatu dalam 'perang maya' terhadap warganet Korea Selatan kerana kontroversi di konsert DAY6 di Malaysia
- Seorang peminat K-Pop Korea Selatan didakwa melanggar peraturan penggunaan kamera semasa konsert
- Tindakan peminat Korea Selatan itu mendapat reaksi negatif dari netizen Malaysia, mengundang teguran
- Konflik memuncak dengan adanya komentar berunsur perkauman terhadap netizen Asia Tenggara, memprovokasi solidaritas regional
- Hashtag #SeaSibling menjadi simbol solidariti antar negara Asia Tenggara dalam menghadapi kontroversi ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

