Dewan Perwakilan AS undi batalkan tarif Trump ke atas Kanada

ISTANBUL - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengundi untuk membatalkan tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump ke atas Kanada selepas enam ahli Republikan menyertai hampir kesemua anggota Demokrat menentang elemen utama agenda perdagangannya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dewan itu meluluskan langkah yang disokong Demokrat itu dengan undian 219 berbanding 211.
Bagaimanapun, resolusi itu sebahagian besarnya bersifat simbolik memandangkan ia boleh dibatalkan menerusi veto oleh presiden jika diluluskan di Senat, selain ia tidak mendapat majoriti yang mencukupi untuk mengatasi kuasa veto di Dewan Perwakilan.
Kelulusan itu menyusuli undian pada Selasa yang menyaksikan wakil Republikan, Kevin Kiley dari California, Thomas Massie dari Kentucky dan Don Bacon dari Nebraska menyertai Demokrat untuk menggagalkan langkah prosedur yang akan menghalang penggubal undang-undang daripada membatalkan tarif menyeluruh presiden sehingga Julai.
Sementara itu, dalam hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump mengancam penggubal undang-undang yang mengundi menentang tarif, dengan menyatakan mereka akan "menanggung akibat yang serius apabila tiba waktu pilihan raya.” - Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Dewan Perwakilan AS mengundi untuk membatalkan tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump ke atas Kanada
- Langkah yang disokong Demokrat itu diluluskan dengan undian 219 berbanding 211
- Resolusi tersebut bersifat simbolik kerana ia boleh dibatalkan melalui veto oleh presiden
- Enam ahli Republikan menyertai hampir kesemua anggota Demokrat menentang elemen utama agenda perdagangannya
- Trump mengancam penggubal undang-undang yang mengundi menentang tarif dengan akibat serius dalam pilihan raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
