'Israel-Amerika pasti akan menyesal' - Presiden Iran beri amaran

TEHERAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan bahawa negara itu tidak mahu peperangan, namun tidak akan teragak-agak untuk membuat musuh menyesal sekiranya terus diserang.
Kenyataan itu dibuat dalam siri perbualan telefon beliau bersama pemimpin Pakistan, India dan Perancis pada Ahad, susulan serangan udara Amerika Syarikat ke atas tiga fasiliti nuklear utama Iran di Isfahan, Natanz dan Fordow.
Dalam perbualan bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, Pezeshkian menyifatkan tindakan ketenteraan AS sebagai satu bentuk pencerobohan yang jelas dan melanggar undang-undang antarabangsa serta Perjanjian Keselamatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Iran tidak mahu perang, dan tidak akan memulakannya. Namun rejim Zionis dengan restu Amerika telah melancarkan serangan pada 13 Jun lalu, membunuh ratusan orang awam, saintis dan pegawai tentera,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa rundingan nuklear yang pernah diadakan bersama AS sebelum ini sebenarnya dimanipulasi Washington demi kepentingan Israel, dan bukannya usaha sebenar untuk mencapai penyelesaian damai.
Pezeshkian mendakwa AS bersama sekutunya berusaha mengekalkan ketegangan di rantau Asia Barat dengan mewujudkan perpecahan dalam kalangan negara Islam, merompak sumber asli dan melimpahkan senjata, bukannya membantu pembangunan.
“Negara-negara ini memutarbelit imej umat Islam, sedangkan merekalah yang menyokong kumpulan pengganas dan rejim zalim Israel,” tegasnya.
Shehbaz dalam reaksi balas menyatakan serangan terhadap fasiliti nuklear Iran itu telah menggoncang Pakistan, dan negara itu akan menyokong Iran secara konsisten dalam forum antarabangsa serta mengambil tindakan diplomatik susulan.
Dalam perbualan telefon dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Pezeshkian menyifatkan serangan oleh AS sebagai “bukti penipuan Washington” yang kononnya mahu berdialog tetapi sebenarnya menyokong peperangan.
“Amerika telah menyerang kami. Jika anda berada di tempat kami, apa yang anda akan lakukan?” soalnya kepada Macron.
Presiden Iran itu menjelaskan bahawa negaranya selama ini bersedia untuk berinteraksi mengikut undang-undang antarabangsa, tetapi pihak lawan bertindak di luar batas logik dan cuba memaksa Iran menyerah kalah.
“Itu sesuatu yang mustahil bagi kami. Iran hanya mempertahankan diri daripada serangan ketenteraan,” katanya.
Macron dalam maklum balasnya menyatakan kesediaan Perancis untuk terus mengusahakan penyelesaian diplomatik dan berusaha mengembalikan kestabilan serantau.
Dalam perbualan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, Presiden Iran menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan global yang membimbangkan, di mana negara seperti Iran yang menjalankan aktiviti nuklear secara aman di bawah pemantauan IAEA tetap menjadi sasaran serangan terbuka oleh AS dan Israel.
“Ini satu bentuk keganasan antarabangsa ala undang-undang rimba yang tidak akan menghalang Iran daripada mempertahankan hak sahnya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Iran tidak pernah melanggar peraturan antarabangsa dan tuduhan bahawa negara itu mahu membangunkan senjata nuklear merupakan pembohongan sejarah.
“Sumber sebenar ketidakstabilan di rantau ini ialah konspirasi AS-Israel. Tindak balas Iran ke atas Israel adalah tindakan mempertahankan diri yang sah,” katanya.
Pezeshkian turut menyuarakan kekecewaannya terhadap kelemahan sistem undang-undang antarabangsa dalam melindungi hak negara yang menjadi mangsa pencerobohan. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

