AS nafi mahu gulingkan kerajaan Iran

Pete Hegseth berucap pada sidang media pada Ahad di Pentagon, Washington, DC, Amerika Syarikat. - Foto AP
Pete Hegseth berucap pada sidang media pada Ahad di Pentagon, Washington, DC, Amerika Syarikat. - Foto AP
A
A
A

WASHINGTON – Pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) menegaskan bahawa serangan udara negara itu ke atas tiga tapak nuklear Iran tidak bertujuan menggulingkan kerajaan Tehran, sebaliknya menyasarkan program nuklear negara tersebut semata-mata.

Naib Presiden AS, JD Vance, dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, pada Ahad menafikan bahawa Washington mahu mencetuskan perubahan rejim di Iran, selepas serangan besar-besaran dilakukan terhadap fasiliti nuklear Fordow, Natanz dan Isfahan.

“Kami tidak berperang dengan Iran, kami berperang dengan program nuklear Iran,” kata Vance dalam program Meet The Press terbitan NBC News.

Beliau turut menyatakan bahawa AS berharap dapat menyelesaikan konflik itu secara diplomatik.

“Kami tidak mahu memanjangkan konflik ini. Kami mahu menamatkan program nuklear mereka dan berunding bagi penyelesaian jangka panjang,” tambahnya.

Hegseth pula menyifatkan serangan tersebut berjaya melumpuhkan sebahagian besar keupayaan nuklear Iran, namun menegaskan bahawa AS tidak berniat untuk menukar rejim di Tehran.

Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump, kemudian tampil dengan kenyataan bercanggah. Menerusi platform media sosialnya, Trump menulis:

“Tidak wajar untuk sebut istilah ‘perubahan rejim’, tapi jika rejim Iran yang ada sekarang tidak mampu ‘menjadikan Iran Hebat Semula’, kenapa tidak boleh berlaku perubahan rejim?”

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap niat sebenar Washington, apatah lagi Trump sebelum ini berulang kali menolak idea perang jangka panjang.

Ketua Turus Pertahanan AS, Jeneral Caine, dalam sidang media bersama Hegseth, mengesahkan bahawa pengebom B-2 dilancarkan dari AS dalam operasi khas dinamakan Operation Midnight Hammer. Ia melibatkan perjalanan selama 18 jam dan pelbagai taktik helah serta gangguan radar digunakan bagi mengelak pengesanan oleh pertahanan udara Iran.

“Iran tidak melepaskan sebarang tembakan, pesawat pejuang mereka juga tidak berlepas,” katanya sambil enggan mengulas lanjut langkah keselamatan terhadap tentera AS di rantau itu.

Al Jazeera melaporkan bahawa AS menghantar mesej jelas melalui operasi tersebut bahawa walaupun bersifat terhad, keupayaan tenteranya tetap berada pada tahap maksimum.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memaklumkan bahawa tiada operasi ketenteraan tambahan terhadap Iran dirancang buat masa ini.

Iran: Tiada kematian direkodkan

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyertai tunjuk perasaan besar-besaran di Tehran pada Ahad bagi membantah serangan udara AS ke atas fasiliti nuklear negaranya. Penunjuk perasaan melaungkan slogan “Balas! Balas!” sambil mengecam pencerobohan Washington.

Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pir Hossein Kolivand, berkata tiada kematian direkodkan dalam serangan ke atas tapak nuklear berkenaan, manakala Kementerian Kesihatan Iran mengesahkan tiada kesan pencemaran radiasi terhadap mangsa yang dibawa ke hospital.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam ucapannya di Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul menyifatkan tindakan AS itu sebagai “melampaui garis merah yang besar” dan memberi amaran bahawa kesabaran Tehran kini berada di penghujung.

Penganalisis politik antarabangsa, Prof. Scott Lucas dari University College Dublin, berkata kepada Al Jazeera bahawa Trump pada awalnya cenderung memilih diplomasi namun ‘dipengaruhi atau dipermainkan’ oleh Israel.

“Tindakan Trump ini sebenarnya hasil tekanan kuat dari Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu,” katanya.

Konflik Iran-Israel kini memasuki hari ke-10 dengan ketegangan semakin memuncak berikutan penyertaan ketenteraan terbuka AS yang dianggap bakal mencetuskan perang serantau berskala penuh. – Al Jazeera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!