AS minta China 'pujuk' Iran jangan tutup Selat Hormuz

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memberi amaran keras kepada Iran agar tidak menutup Selat Hormuz kerana tindakan berkenaan akan melumpuhkan ekonomi negara itu sendiri.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio turut menggesa China agar campur tangan dengan menasihati Iran supaya tidak mengambil langkah drastik tersebut, susulan ketegangan yang semakin memuncak selepas serangan udara AS ke atas tapak nuklear Iran, hujung minggu lalu.
Bercakap kepada Fox News, Rubio menekankan bahawa Selat Hormuz merupakan laluan penting kepada bekalan minyak global, dan sebarang tindakan menyekatnya bakal memberi kesan buruk kepada ekonomi dunia.
“Jika mereka menutup Selat Hormuz, itu adalah satu lagi kesilapan besar. Ia akan melumpuhkan ekonomi Iran,” katanya.
AS dilaporkan mempunyai beberapa pilihan untuk bertindak balas sekiranya Iran meneruskan hasrat menutup laluan tersebut.
“Kami menggalakkan kerajaan China di Beijing untuk segera menghubungi pihak Iran kerana mereka juga sangat bergantung kepada laluan tersebut untuk bekalan minyak mereka,” jelasnya lagi.
Menurut laporan Bloomberg, Selat Hormuz yang terletak antara Iran dan negara jiran Teluk Arab merupakan laluan utama bagi hampir 20 peratus penghantaran minyak harian dunia.
Laporan Euronews pada Ahad turut mendedahkan bahawa Iran sedang mempertimbangkan untuk menutup laluan tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas fasiliti nuklearnya.
Data yang dikemukakan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) menunjukkan bahawa sepanjang tahun 2024 dan suku pertama 2025, lebih 25 peratus perdagangan minyak laut global serta sekitar 20 peratus penggunaan minyak dan produk petroleum dunia telah melalui Selat Hormuz.
Selain itu, kira-kira satu perlima perdagangan gas asli cecair (LNG) global, terutamanya dari Qatar, turut menggunakan laluan tersebut dalam tempoh yang sama.
EIA turut melaporkan bahawa syarikat Saudi Aramco mengendalikan saluran paip minyak mentah East-West yang berkapasiti lima juta tong sehari, dari fasiliti pemprosesan Abqaiq berhampiran Teluk Parsi ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah sebagai laluan alternatif.
Sekiranya Selat Hormuz dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi, kos insurans dan keperluan keselamatan bagi kapal dagang dijangka meningkat mendadak, sekali gus menyebabkan kos penghantaran melonjak kepada semua pihak yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

