Selat Hormuz: Titik panas baharu di Asia Barat

TEHERAN - Tindakan melulu Amerika Syarikat (AS) mengebom tiga kemudahan nuklear utama milik Iran diibaratkan seperti 'mencurah minyak ke dalam api' setelah perang bersama Israel kini memasuki minggu kedua.
Teheran bagaimanapun tidak berdiam diri dan hanya menunggu masa untuk bertindak balas apabila menegaskan ia mempertimbangkan segala pilihan yang ada bagi mempertahankan diri.
Provokasi melampau Washington yang campur tangan dalam perang terbuka Iran-Israel telah mencetuskan spekulasi bahawa kepimpinan negara republik Islam itu mencari cara lain 'lebih halus' untuk memberi tekanan kepada musuh mereka iaitu menutup serta-merta Selat Hormuz yang merupakan laluan perkapalan penting dan mengendalikan kira-kira satu perempat perdagangan minyak dunia.
Jika Iran menyekat akses kapal tangki minyak dan gas ke China, Eropah dan negara lain, ia dikhuatiri melonjakkan harga minyak serta menjejaskan ekonomi global.
Sebelum ini, Teheran cuma menyasarkan kapal dagang selain mengancam untuk menyekat selat sempit itu dan tidak pernah mengambil langkah drastik sedemikian.
Sebelum AS turut serta dalam kempen serangan ke atas Iran, laluan maritim di rantau itu dan Hormuz secara relatif tidak terjejas dek konflik malah aktiviti kapal tangki minyak di selat tersebut juga kekal stabil
Teheran dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan operasi di Hormuz meskipun langkah itu mendapat lampu hijau Majlis Syura (Parlimen) Iran.
Sekatan itu mungkin bakal berdepan tindak balas tegas daripada Armada Kelima AS dan tentera laut negara Barat lain yang meronda di kawasan tersebut yang khuatiri mencetuskan konflik maritim dan perang lebih besar.
Meskipun pernah terlibat beberapa krisis sebelum ini termasuk ketika Perang Iran-Iraq (1980-88), Teheran tidak pernah menutup laluan perkapalan penting itu.
Sewaktu Iran berdepan sekatan pada 2011, ia mengancam untuk menutup selat itu, namun tidak meneruskan langkah tersebut.
Sejak akhir 2023, tumpuan untuk melindungi laluan perkapalan telah beralih dari Selat Hormuz ke selatan Laut Merah yang juga laluan maritim penting di Asia Barat dan Bab el-Mandeb yang menghubungkan Teluk Aden dan Lautan Hindi.
Siri serangan dilancarkan pejuang Huthi di laluan perkapalan di Laut Merah sebenarnya lebih menjadi kebimbangan utama banyak pihak berbanding Selat Hormuz. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

