Dua kapal tangki patah balik di Selat Hormuz

DUA kapal tangki super dikesan berpatah balik atau melakukan pusingan U berhampiran Selat Hormuz, ekoran peningkatan ketegangan selepas serangan agresif tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran baru-baru ini.
Insiden tersebut berlaku di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan minyak global.
Data penjejakan kapal menunjukkan bahawa keganasan yang berlarutan lebih seminggu di rantau berkenaan telah menyebabkan kapal-kapal mempercepatkan, berhenti seketika, atau mengubah haluan perjalanan mereka.
Keputusan Washington untuk menyertai serangan Israel ke atas Iran telah mencetuskan kebimbangan serius bahawa Iran mungkin akan bertindak balas dengan menutup Selat Hormuz, laluan maritim kritikal yang menghubungkan Iran dan Oman.
Laluan tersebut merupakan arteri penting bagi kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas global.
Situasi tegang itu turut mendorong ramalan bahawa harga minyak dunia berpotensi melonjak ke paras 100 dolar AS (RM429) setong.
Pada Isnin, harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh lima bulan dalam dagangan yang tidak menentu.
Lonjakan ini didorong oleh kebimbangan pelabur terhadap potensi risiko kepada rantaian bekalan minyak global.
Selain itu, data pengangkutan menunjukkan kadar penghantaran untuk kapal tangki super, yang mampu membawa dua juta tong minyak, turut melonjak lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh seminggu kepada lebih 60,000 dolar AS sehari.
Antara kapal yang terjejas ialah Coswisdom Lake, sebuah kapal tangki super jenis Very Large Crude Carrier (VLCC).
Menurut data Kpler dan LSEG, kapal tersebut tiba di Selat Hormuz pada Ahad sebelum berpatah balik dan menuju ke arah selatan.
Pada Isnin, kapal berkenaan berpatah balik sekali lagi dan meneruskan perjalanannya menuju ke pelabuhan Zirku di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memuatkan minyak mentah bagi penghantaran ke China.
Satu lagi kapal VLCC, South Loyalty, juga dilaporkan melakukan tindakan serupa dan kekal di luar selat pada Isnin, menurut data LSEG.- Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

