Hanya 23.4 peratus belia sertai pertanian di Perak

Mohd Zolkafly (tengah) dan Mohd Uzir (kiri) menunjukkan buku Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang diluncurkan pada Isnin.
Mohd Zolkafly (tengah) dan Mohd Uzir (kiri) menunjukkan buku Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang diluncurkan pada Isnin.
A
A
A

GOPENG - Hanya 24,555 orang atau 23.4 peratus dalam kalangan belia berusia 15 hingga 45 tahun menyahut cabaran untuk menceburi pertanian di Perak pada tahun 2023.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor terbabit masih bergantung kuat kepada kelompok warga emas apabila sebanyak 46.6 peratus daripada 104,878 pegangan pertanian individu dimiliki oleh mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menurut beliau, baki 30 peratus pula dimiliki golongan berusia 46 hingga 59 tahun.

"Jurang penyertaan antara generasi tua dan muda ini bukan sahaja membimbangkan, malah membayangkan masa depan yang rapuh sekiranya tiada usaha drastik dilakukan.

"Kekurangan tenaga kerja muda, kesukaran dalam menerima dan mengadaptasi teknologi moden serta persepsi terhadap kerjaya dalam sektor ini menjadi penghalang utama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini pada Isnin.

Menurut beliau, usaha untuk meremajakan sektor pertanian di Perak sangat diperlukan demi kelangsungan dan daya saing industri ini dalam jangka panjang.

Tambahnya, masa depan sektor pertanian bergantung kepada sejauh mana kita berjaya menarik kembali minat generasi muda untuk kembali ke ladang dan sawah, bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai peneraju transformasi agroindustri negara.

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, Perak turut mencatatkan jumlah nilai jualan hasil pertanian sebanyak RM15,984.5 juta secara keseluruhannya pada tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, daerah Manjung mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu RM2,864.9 juta diikuti Larut dan Matang (RM1,968.9 juta) dan Batang Padang (RM1,924.9 juta).

"Subsektor ternakan di Perak meliputi telur ayam dan itik, susu segar, madu serta ternakan hidup dan hasil ternakan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM4,214.39 juta.

"Kuantiti jualan subsektor perikanan tangkapan mencatatkan sebanyak 298,400 tan metrik dengan nilai hasil jualan sebanyak RM2,364 juta.

"Subsektor akuakultur di Perak merekodkan kuantiti pengeluaran sebanyak 66,000 tan metrik meliputi air tawar dan air payau. Kuantiti jualan pula merekodkan sebanyak 62,300 tan metrik dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1,008.76 juta," katanya.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri menyusun tindakan bagi menarik golongan belia untuk terlibat dalam bidang usahawan tani.

"Kita memperkenalkan teknologi baharu seperti teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan sebagainya yang dapat menarik golongan ini menceburi pertanian, perikanan dan ternakan.

"Melihat daripada seminar, kursus serta jelajah pertanian bandar dan sebagainya, kebanyakan golongan belia ini hadir. Namun, kita akan terus melaksanakan program bagi menggalakkan golongan ini terlibat dalam pertanian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!