Pelantikan ketua kampung Perak capai 80 peratus, dimuktamad hujung Jun

PARIT – Proses pelantikan ketua kampung di seluruh negeri Perak telah mencapai tahap 80 peratus dan dijangka dimuktamadkan secara rasmi pada hujung bulan ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, semua senarai nama calon ketua kampung tersebut telah dipersetujui dan diperakui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurutnya, watikah pelantikan bagi kumpulan pertama akan disampaikan secara rasmi dalam satu majlis khas yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun ini di Lenggong.
“Status permohonan setakat ini menunjukkan bahawa 80 peratus telah diproses, diperakui dan dipersetujui oleh Menteri Besar.
“Baki 20 peratus lagi masih dalam proses tapisan dan kita masih menerima cadangan-cadangan untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Sejahtera Desaku DUN Bota di Dewan Kampung Teluk Kepayang, di sini, pada Sabtu.
Mohd Zolkafly menjelaskan bahawa senarai nama ketua kampung disediakan melalui rundingan bersama dalam Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan yang merangkumi pelbagai parti dalam kerajaan negeri.

Katanya, proses pelantikan tersebut melibatkan lantikan baharu, penyambungan semula penyandang sedia ada serta penglibatan lebih ramai wanita dan golongan muda.
“Ada yang merupakan lantikan baharu, dan ada juga penyandang dikekalkan. Kita juga melibatkan wakil muda serta wanita. Di Kampar dan Pangkor misalnya, ada wakil wanita yang kita lantik untuk mengetuai kampung,” ujarnya.
Beliau berharap individu yang dilantik berupaya menjadi ejen perubahan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat, seiring dengan pelaksanaan program Sejati Madani yang menekankan kesejahteraan komuniti luar bandar.
“Program Sejati Madani menuntut kredibiliti daripada pemimpin kampung dan seluruh jawatankuasa JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung),” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd Zolkafly memaklumkan bahawa program Jelajah Sejahtera Desaku yang dilaksanakan di DUN Bota merupakan lokasi keenam yang telah dikunjungi setakat ini.
Menurutnya, siri jelajah berkenaan akan diteruskan ke DUN Kerian pada Ahad dan dijangka selesai bagi kesemua 17 DUN terlibat menjelang hujung tahun.
“Insya-ALLAH, tahun depan kita akan masuk ke DUN-DUN lain pula. Kita menerima banyak permohonan untuk program ini dilaksanakan lebih kerap.
“Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat seperti FAMA, Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Jabatan Perikanan, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna), Yayasan Bina Upaya dan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) yang turut serta turun padang bersama kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!