Malaysia Airlines tawar cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangan

Kakitangan Malaysia Airlines Berhad diminta mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak Covid-19.
Kakitangan Malaysia Airlines Berhad diminta mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 13,000 kakitangan Malaysia Airlines Berhad diminta mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara sekali gus menjejaskan operasi syarikat penerbangan tersebut.

Menurut laporan theedgemarkets.com, tawaran tersebut dibuka kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu di mana mereka perlu mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tanpa gaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan bermula April depan.

Tawaran program cuti tanpa gaji sukarela itu juga diperluaskan kepada semua kakitangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) seperti MAB Kargo, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering, Firefly dan MASwings.

MAG adalah syarikat induk kepada MAS, Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan catar penerbangan umrah dan haji, Amal, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail memaklumkan, pihaknya akan mengurangkan 10 peratus daripada gaji pengurusan kanannya serta mengurangkan elaun mereka.

Menurutnya, pemotongan kos itu adalah untuk menampung permintaan yang lemah bagi perjalanan udara akibat wabak Covid-19 yang menghalang momentum pertumbuhan syarikat.

"Kita perlu bersatu untuk memerangi krisis ini. Ia telah sembilan minggu, aliran tunai bukan sahaja menjejaskan MAG tetapi juga industri (penerbangan) secara keseluruhan.

"MAG tidak terlepas daripada semua ini. Ia bukan sahaja menjejaskan syarikat penerbangan tetapi juga hotel, peruncit, tempat pasaran dan pusat membeli-belah. Oleh itu, tindakan drastik perlu diambil oleh kita semua," katanya menerusi video berdurasi lebih tujuh minit kepada kakitangan MAG pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Izham turut memberitahu, pada suku pertama tahun ini sahaja, pihaknya mengurangkan sebanyak 7.1 peratus kapasiti penerbangan dan menggantung lebih daripada 1,600 penerbangan.

"MAS juga mengurangkan laluan ke China sebanyak 53 peratus serta ke Korea Selatan dan Jepun sebanyak 23 peratus.

"Dalam keadaan krisis ini, lebih banyak penerbangan akan dibatalkan kerana kurang permintaan dari pasaran. Landskap industri kini sudah berubah,” kata Izham.

Izham berkata, banyak syarikat penerbangan global juga terpaksa menjalankan langkah pemotongan kos untuk mengekalkan aliran tunai dan ia termasuk Emirates, Cathay Pacific, Singapore Airlines (SIA) dan Malindo Air.