[VIDEO] Yasin terlepas hukuman penjara seumur hidup, sempat beri 'flying kiss’ kepada keluarga

A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Selepas dijel selama tiga tahun, penyanyi, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, daripada tiga kes dadah.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman ditempatkan di bawah jagaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut tempoh perkenan Sultan Selangor.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menerima rayuan terakhir Yasin, 50, selaku perayu dengan mengetapikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selepas keputusan dibaca, penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ itu melemparkan ‘flying kiss’ kepada ahli keluarga dan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik di atas kejayaan tersebut.

Mendengar keputusan itu, riak wajah ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 17 tahun tersenyum dan melakukan sujud syukur di galeri awam mahkamah.

Penyanyi, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan libatkan kes dadah.
Penyanyi, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan libatkan kes dadah.

Semasa membaca membaca keputusan sebulat suara, Hakim, Che Mohd Ruzima berkata, mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang melepaskan dan membebaskannya.

Menurutnya, mahkamah meneliti dua isu utama iaitu keterangan saksi pembelaan pertama (SD1), Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Llyod Anthony dan isu ketidakwarasan perayu dari segi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mahkamah berpandangan, laporan perubatan mental dikeluarkan SD1 (D121) bukanlah keterangan dengar cakap.

“Ini kerana D121 dan keterangan SD1 adalah berasaskan pemeriksaan dan pemerhatian terhadap perayu secara terus.

“Justeru itu kami mendapati hakim mahkamah tinggi tersalah arah apabila mengubah dapatan hakim mahkamah rendah yang berasaskan kepada keterangan di hadapannya.

“Walaupun perayu telah melakukan kesalahan seperti mana dalam pertuduhan, namun dia tidak boleh disabitkan oleh kerana ketidakwarasan fikirannya pada masa tersebut.”

Che Mohd Ruzima berkata demikian ketika bersidang bersama dua lagi hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.

Che Mohd Ruzima berkata, sejarah perubatan perayu juga menunjukkan dia mendapat rawatan di empat pusat kesihatan terkemuka.

Justeri itu, beliau berkata, ia mengesahkan bahawa perayu sememangnya mengalami masalah berkaitan fikirannya iaitu ‘bipolar disorder’ yang mana ia dikesan sejak 2007 sehingga 2013.

“Ini bermakna berlaku ‘relapse’ atau kembali sakit atas masalah dialami perayu selain ada keterangan menyatakan perayu telah diberi ubat-ubatan untuk mengatasi penyakit terbabit.

“Walaupun perayu melakukan kesalahan kes dadah itu, namun ia tidak boleh disabitkan atas kesalahan berkenaan kerana ketidakwarasan fikiran pada masa itu.

“Jadi, kami membenarkan rayuan perayu dengan mengetepikan keputusan hakim mahkamah tinggi dan mengembalikan perintah hakim bicara mahkamah sesyen,” katanya.

Dalam prosiding ini, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah bagi mewakili Yasin sementara pendakwaan selaku responden dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, P Sarulatha.

Pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.

Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin, 50, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023.

Bagi kes dalam milikannya dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, komposer itu dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Kes menanam 17 pokok kanabis pula, duda anak dua berkenaan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan sementara kes memberikan dirinya dadah berbahaya, dia dijel selama 10 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh tangkap, 24 Mac 2022.

Susulan keputusan berkenaan, Yasin yang sebelum ini ditempatkan di hospital bahagia selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, segera digari oleh pihak polis dan dibawa ke Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kes kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan Yasin atas tiga kes dadah itu, namun mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan hospital bahagia mengikut tempoh perkenan Sultan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!