Serangan Ulu Tiram, misi Guantanamo momen dikenang - Saifuddin Nasution

Razarudin semasa Majlis Perbarisan Persaraan dan Paluan Berundur sempena persaraan beliau di Pusat Latihan Polis pada Jumaat. Foto Bernama
Razarudin semasa Majlis Perbarisan Persaraan dan Paluan Berundur sempena persaraan beliau di Pusat Latihan Polis pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tugasan menguruskan kes membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo serta tragedi serangan di Balai Polis Ulu Tiram merupakan antara momen yang dikenang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Saifuddin Nasution, beliau berasa bersyukur dan bertuah kerana berpeluang menjalinkan kerjasama erat bersama dua Ketua Polis Negara sebelum ini, iaitu Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Razarudin.

“Tentu saya ada momen sepanjang dua tahun ini. Banyak yang saya pelajari daripada Tan Sri Razarudin.

"Suatu ketika, Jemaah Menteri mengarahkan supaya dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guantanamo dibawa pulang. Itu arahannya. Pada September 2023, saya bersama beliau (Razarudin) ke sana.

"Sebelum itu kami perlu berjumpa dahulu dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Tugas besar, dan kami laksanakan bersama. Itulah momen yang saya rasai bahawa saya menteri, tetapi dalam perkara seperti ini, apabila kita mempunyai seorang Ketua Polis Negara yang tahu tugas, cekap dan bertanggungjawab, maka separuh daripada beban tugas itu menjadi lebih mudah. Alhamdulillah, akhirnya kedua-dua warga negara itu berjaya dibawa pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Majlis itu menyaksikan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam pada itu, Saifuddin turut berkongsi insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei tahun lalu.

Katanya, ketika kejadian, Perdana Menteri yang berada di luar negara menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut, khususnya sama ada kejadian itu mempunyai elemen keganasan.

Artikel Berkaitan:

“Tan Sri (Razarudin) seorang yang tenang. Beliau sendiri turun ke lokasi sejak awal. Kemudian saya diterbangkan ke sana dan mendengar taklimat.

“Di situlah saya mula kenal istilah ‘lone wolf’. Ini bukan serangan berkumpulan tetapi dilakukan oleh individu yang terkesan akibat pelbagai faktor.

“Dalam kemelut dan ancaman seperti itu, perkara paling penting bagi seseorang pemimpin pasukan ialah ketenangan. Hadapi isu dengan tenang, cari punca masalah dan kongsikan naratif yang meyakinkan. Kita berjaya tangani naratif itu dengan baik,” katanya.

Tambahnya, beliau amat menghargai kerjasama erat bersama Razarudin yang disifatkan sebagai seorang ketua yang sentiasa komited dan responsif.

“Satu keunikan beliau – kalau saya mesej jam 2.01 pagi, beliau balas 2.05 pagi. Kalau mesej jam 3.30 petang, beliau jawab 3.33 petang. Ini saya fikir asas yang memudahkan ‘chemistry’ dalam kerja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!