Razarudin hargai peranan media salur informasi tepat

KUALA LUMPUR - Media merupakan wadah penghubung dalam menyalurkan informasi tepat serta telus bagi memastikan keadilan kepada segenap lapisan masyarakat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, wadah berkenaan mampu membendung spekulasi liar yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
"Buat rakan-rakan media, sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan atas keberkesanan peranan sebagai wadah penghubung antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat.
"Media menyalurkan informasi tepat, dipercayai serta telus bagi memastikan keadilan kepada segenap lapisan masyarakat, sekali gus membendung spekulasi liar yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Dalam majlis itu, Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Razarudin menamatkan kontrak sebagai KPN ke-14 pada 22 Jun ini (Ahad).
Dalam pada itu, Razarudin berkata, bagi memartabatkan PDRM sebagai agensi penguat kuasa terulung negara, usaha pengukuhan sinergi kerjasama intra dan inter agensi dengan berlandaskan kepada keberkesanan dan keberhasilan yang lebih optimum.
“Alhamdulillah, melalui komitmen tinggi dan kolaborasi unggul bersama rakan strategik pasukan membuahkan hasil yang amat membanggakan.
“Semoga PDRM terus versatile dan relevan dalam apa jua penugasan serta tindakan penguatkuasaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
