[VIDEO] Najib gagal gugur tiga kes AMLA SRC RM27 juta
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM27 juta yang membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.
Permohonan itu ditolak selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Najib, 72, yang dikemukakan pada 31 Julai 2023.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi perbicaraan kes tersebut.
Menurutnya, sebanyak 807 ekshibit telah dikemukakan dalam perbicaraan terdahulu berkaitan kes SRC yang melibatkan dana berjumlah RM42 juta.
Beliau berkata, walaupun banyak ekshibit telah dikemukakan dalam perbicaraan tersebut, namun ia diperlukan semula untuk prosiding kes ini.

Katanya, kali terakhir ekshibit berkenaan dirujuk adalah semasa perbicaraan SRC RM42 juta pada tahun 2020.
“Kami telah bersedia untuk menghadapi perbicaraan ini tetapi memerlukan masa untuk mendapatkan semua dokumen berkaitan.
“Justeru, kami mohon diberikan masa yang lebih panjang kerana perbicaraan tidak akan bermula dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengulangi permohonan supaya anak guamnya diberi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan tersebut.
Muhammad Shafee berkata, memandangkan kes ini telah berlanjutan sejak 2019 dan penangguhan sudah menjangkau enam tahun, maka DNAA merupakan jalan terbaik untuk Najib.
“Bagi mencapai keadilan, anak guam saya perlu diberi DNAA dan sekiranya pihak pendakwaan sudah bersedia dengan semua dokumen berkenaan, mereka boleh memohon untuk menyemak semula perintah itu.
“Pihak pendakwaan tidak akan diprejudiskan sekiranya mahkamah membenarkan perintah DNAA,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim K Muniandy menetapkan 20 Jun ini untuk keputusan sama ada bekas Presiden UMNO itu akan diberi perintah DNAA atau perbicaraan akan diteruskan.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil aktiviti haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuannya.
Pada 2 Februari 2024, Sinar Harian melaporkan bahawa Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun, sekali gus menyaksikan bekas ahli politik itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Urusetia Lembaga Pengampunan turut mengumumkan bahawa denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pengurangan itu adalah hasil Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Kali Ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

