Singkir elemen haram dalam sushi
Sushi King kini berbangga menyediakan makanan tradisional Jepun halal untuk semua rakyat Malaysia terutamanya Muslim sejak 2016

SEBUT sahaja sushi, pasti ia tidak asing lagi buat rakyat Malaysia memandangkan makanan tradisional negara matahari terbit ini sudah sekian lama bertapak di negara kita.
Sushi merupakan makanan Jepun berupa nasi bersalut dan diletakkan lauk terutamanya ikan mentah di bahagian atas atau di dalamnya.
Begitulah definisi yang termaktub dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.
Persoalannya, apakah sushi halal dimakan buat umat Islam? Benarkan dalam sushi ada elemen tidak halal?

Ketika mengulas mengenai kandungan di dalam sushi, Pengasas Sushi King Sdn Bhd, Tan Sri Fumihiko Konishi menjelaskan, secara umumnya banyak bahan dalam restoran Jepun mengandungi bahan tidak halal seperti alkohol.
“Sebagai contoh kicap, ia mengandungi lebih tiga peratus alkohol, miso (perasa makanan) pula antara tiga hingga lima peratus alkohol manakala mirin, ia sendiri adalah sejenis sake (arak).
“Apabila kami memutuskan untuk menjalankan kajian bagi menjadikan Sushi King halal, Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sendiri tidak percaya.
“Menurut Jakim, ini tidak mungkin kerana belum pernah berlaku di dunia (sushi halal),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program sempena 30 tahun Sushi King di Malaysia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
Gagal di pasaran jika tiada halal
Tambah Konishi, jika pihaknya tidak dapat berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk umat Islam yang merupakan majoriti di negara ini, maka Sushi King akan gagal di pasaran negara ini.

“Jadi kami perlu memastikan Sushi King menjadi halal. Bayangkan kami mempunyai lebih 150 bahan mentah daripada pelbagai pembekal.
“Kami terpaksa mengunjungi kesemua pembekal ini untuk memujuk mereka menukar kilang masing-masing agar patuh syariah. Kalau tidak, kami tidak akan dapat sijil halal,” ceritanya lagi.
Menurutnya, pada tahun 2016, akhirnya pihak Jakim meluluskan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada Sushi King dan menjadikan restoran itu sebagai restoran Jepun halal pertama di dunia.
“Kami amat berbangga kerana berjaya melalui proses ini dalam memenuhi syarat-syarat ketat daripada Jakim dan hari ini kami masih meneruskannya (pematuhan sijil halal).
“Kini Sushi King mempunyai kira-kira 130 cawangan di seluruh Malaysia dan enam di Indonesia, semuanya disahkan halal.
“Kami berbangga dapat berkhidmat kepada semua golongan masyarakat dengan 68 peratus pelanggan Sushi King adalah terdiri daripada orang Islam, makanala 26 peratus lagi kaum Cina dan selebihnya kaum-kaum lain,” hurainya.
Ujarnya, peratusan ini mencerminkan struktur rakyat Malaysia dan beliau bersyukur kerana kini Sushi King disokong oleh seluruh rakyat Malaysia.
Lima tahun tanpa pelanggan Muslim
Menjejaki sejarah, Sushi King ditubuhkan Konishi pada 15 April 1995 walaupun menurutnya, cadangan penubuhan restoran ini ditolak pada awalnya namun usaha tidak putus asa itu membuahkan hasilnya.

“Pada hari pertama pembukaan Sushi King, kami menerima pelanggan yang ramai hingga mereka terpaksa beratur sepanjang 50 meter.
“Bagaimanapun, lima tahun pertama, kami tidak mempunyai pelanggan Muslim kerana Sushi King belum mendapat pensijilan halal,” jelasnya.
Oleh sebab itu pihak pengurusan Sushi King mengambil inisiatif untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim dalam memenuhi keperluan semua golongan.
Sushi King kini boleh berbangga atas usaha mendapatkan SPHM daripada Jakim dan baginya proses tersebut tidak mudah untuk dilaksanakan sekiranya tidak ada kesedaran untuk menyediakan makanan halal kepada pelanggan terutamanya Muslim.
Sempena tiga dekad bertapak di Malaysia, Sushi King mengumumkan menu baharunya termasuk hidangan Yakimono dan Agemono. Lebih 200 hidangan ditawarkan Sushi King termasuk bento, donburi, ramen dan udon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

