Lelaki dirempuh kereta dipandu warga Bangladesh ditemui lemas

Kereta Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi.
Kereta Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh sebuah kereta dipandu warga Bangladesh di Jalan Ipoh akhirnya ditemui kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa dipercayai lemas dalam kemalangan pada Jumaat itu sebelum usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Sentul, Jinjang dan Hang Tuah bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan JSPT Kuala Lumpur.

Beliau berkata, identiti mangsa setakat ini belum dapat dikenal pasti.

"Pasukan penyelamat yang menjalankan usaha mencari dan menyelamat telah menemui mangsa kira-kira jam 7.30 pagi.

"Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan dalam jarak kira-kira 150 meter dari lokasi kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut berhubung kemalangan ini masih dijalankan.

"Pihak polis kini mengklasifikasikan semula kes kemalangan terbabit di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pejalan kaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11.45 pagi itu melibatkan dua buah kereta dan seorang pejalan kaki.

Siasatan awal mendapati sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah Program Perumahan Rakyat Batu Muda telah hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan kanan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun yang datang dari arah Batu Kentonmen.

Kereta Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!