Pasangan suami isteri direman disyaki dera anak 11 tahun

ARAU – Pasangan suami isteri direman enam hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes penderaan fizikal terhadap anak perempuan mereka berusia 11 tahun di sebuah taman perumahan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pasangan terbabit ditahan pada jam 1.30 pagi Khamis selepas pihaknya menerima maklumat daripada pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekitar jam 10.40 malam Selasa.
“Pegawai JKM yang menerima aduan awam telah ke rumah berkenaan dan mendapati terdapat unsur penderaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan.
"Mangsa diselamatkan serta-merta dan kini berada di lokasi perlindungan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Ahmad Mohsin, siasatan awal mendapati mangsa telah mengalami penderaan sejak dua tahun lalu, dengan insiden terbaharu berlaku pada tengah hari Rabu apabila mangsa dipukul dengan rotan oleh bapa kandungnya kerana didakwa berkelakuan nakal.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bibir, rusuk, belakang badan, lengan serta betis, dipercayai akibat terkena objek tumpul dan air panas.
“Pemeriksaan perubatan mengesahkan terdapat kecederaan lama dan baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa kini dirawat di Unit Pediatrik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan berada dalam pemantauan rapi pihak hospital serta JKM.
Menurutnya, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak.
“Pemeriksaan saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek berusia 37 tahun itu didapati negatif,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

