Siasatan rasuah lebuh raya dijangka siap satu atau dua bulan lagi

BANGI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan mengambil masa antara satu atau dua bulan lagi bagi menyelesaikan siasatan membabitkan seorang Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tempoh masa tersebut diperlukan bagi membolehkan pasukan penyiasat SPRM mendapatkan maklumat lengkap.
Beliau berkata, pihaknya juga memerlukan masa bagi menganalisis segala dokumen yang diperoleh daripada saksi.
"Sehingga kini, seramai 53 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes ini. Dijangkakan lebih ramai saksi akan dipanggil bagi diambil keterangan.
"Rakaman percakapan daripada individu bergelar Tan Sri juga akan disambung hari ini," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Kedua Tahun 2025.
Sementara itu, mengulas mengenai kes rasuah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Azam berkata, satu atau dua individu akan didakwa dalam masa terdekat.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut dan menjelaskan bahawa perkembangan lanjut akan dimaklumkan tidak lama lagi.
Jelasnya, SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung klip video yang didakwa berkaitan skandal rasuah ADUN Sabah itu.
Bagi siasatan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azam berkata, pihaknya telah merekod keterangan daripada Datuk Jovian Mandagie, 39.
Jelasnya, rakaman membabitkan pereka fesyen terkenal itu dilakukan di Jakarta, Indonesia.
"Ada pihak media melaporkan rakaman pegawai penyiasat SPRM itu dibuat di Bali dan ia tidak benar.
"Rakaman percakapan melibatkan Jovian itu dilakukan di Jakarta," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
