Rayuan SIS Forum cabar fatwa beri implikasi besar – MAIS

Salehuddin (tengah) menyerahkan replika cek kepada Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Datuk Mohd Farid Ravi Abdullah (kanan) yang mewakili semua penerima sempena Majlis Pelancaran Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.
Salehuddin (tengah) menyerahkan replika cek kepada Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Datuk Mohd Farid Ravi Abdullah (kanan) yang mewakili semua penerima sempena Majlis Pelancaran Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Rayuan oleh SIS Forum (Malaysia) terhadap fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam boleh memberi implikasi besar terhadap institusi fatwa di negara ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk memihak kepada SIS Forum, ia akan membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar kesemua fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Menurut beliau, fatwa tidak dikeluarkan secara sewenang-wenangnya kerana ia melalui penelitian mendalam oleh Jawatankuasa Fatwa yang terdiri daripada para ulama pakar dalam bidang agama.

“Fatwa adalah keputusan yang dibuat demi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhan, namun jika ia dibenarkan untuk dicabar, masyarakat Islam akan menjadi keliru dan hilang arah terhadap isu-isu berkaitan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada Rabu.

Salehuddin turut mengingatkan bahawa kes tersebut bukan hanya memberi kesan kepada Selangor, malah berpotensi menjejaskan negeri-negeri lain kerana SIS Forum turut beroperasi di luar negeri ini termasuk di Wilayah Persekutuan.

“Kita amat berharap agar keputusan mahkamah memihak kepada kita kerana jika tidak, selepas ini apa sahaja fatwa boleh dicabar oleh sesiapa sahaja.

“Ia sangat berbahaya kepada keharmonian dan kestabilan umat Islam di negara ini,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan bahawa solat hajat telah diadakan selama dua minggu berturut-turut selepas solat Jumaat.

“Jabatan-jabatan di bawah MAIS digalakkan untuk meneruskan solat hajat secara berterusan menjelang keputusan mahkamah,” katanya lagi.

Keputusan rayuan SIS Forum untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor itu dijangka diumumkan pada Khamis.

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan fatwa tersebut.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah satu keputusan muktamad dan oleh itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah mengemukakan rayuan selepas gagal dalam usaha di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa tersebut. Permohonan semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa berkenaan diwartakan oleh Kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu serta kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!