Iran berhak pertahan diri daripada serangan Israel - Erdogan

ISTANBUL – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa Iran mempunyai hak sah untuk mempertahankan diri susulan serangan udara berterusan oleh Israel yang kini memasuki hari keenam.
Beliau menegaskan bahawa tindakan Iran itu adalah hak semula jadi, sah dan mengikut undang-undang sebagai respons terhadap keganasan negara yang dilakukan oleh Israel.
“Serangan tersebut dirancang semasa rundingan nuklear Iran sedang berlangsung.
“Israel, yang memiliki senjata nuklear dan tidak mengiktiraf sebarang peraturan antarabangsa, tidak menunggu rundingan selesai, sebaliknya melancarkan tindakan keganasan tanpa menunggu sebarang keputusan,” katanya.
Serangan besar-besaran Israel bermula Jumaat lalu melalui pelancaran peluru berpandu jarak jauh, termasuk menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran.
Sementara itu, Iran mendakwa bahawa serangan Israel telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 224 orang di negara itu, manakala serangan balas Iran ke atas Israel menyebabkan 24 kematian di Israel dan mencederakan ratusan yang lain.
Kenyataan Erdogan itu mendapat reaksi balas daripada Menteri Luar Israel, Gideon Saar, yang menyindir kehadiran Turkiye di utara Syria dan Cyprus sambil mempertikaikan kredibiliti moral beliau.
Gideon Saar dalam kenyataannya di platform X berkata, amat ironik apabila seseorang yang menceroboh wilayah lain bercakap atas nama undang-undang antarabangsa, sambil mencadangkan agar Erdogan “lebih sedar diri”.
Pada Isnin, Erdogan turut mengarahkan industri pertahanan negaranya untuk meningkatkan pengeluaran peluru berpandu jarak sederhana dan jauh bagi memperkukuh keupayaan pertahanan Turkiye susulan konflik tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!