Trump dan Israel berbohong, tiada bukti Iran bina senjata nuklear

VIENNA - Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi mengesahkan tiada bukti Iran sedang membangunkan program senjata nuklear.
Kenyataan itu ternyata bercanggah dengan tuduhan dilemparkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menjadikan projek tersebut sebagai alasan untuk menyerang Teheran.
"Laporan kami selaras dengan sumber bebas lain berhubung isu tersebut. Kami tidak mempunyai sebarang bukti sistematik tentang perkara itu," jelasnya pada Selasa.
Pengesahan itu dibuat Grossi beberapa hari selepas Lembaga Gabenor IAEA meluluskan resolusi ke atas Iran yang dituduh gagal mematuhi kewajipan nuklear mereka di bawah projek pengayaan uranium.
Sebelum ini, IAEA juga pernah mendedahkan tentang aktiviti nuklear dijalankan Teheran, namun ia menyangkal laporan tersebut dan mendakwa ia bermotifkan politik.
Grossi turut memberi amaran terdapat kemungkinan berlaku kebocoran radiasi dan pencemaran kimia di kemudahan pengayaan uranium di Natanz yang dibedil Israel.
"Ia berbahaya kepada manusia meskipun paras radiasi di luar kompleks itu menunjukkan bacaan normal," ujarnya.
Menurut Rafael, risiko itu boleh diatasi dengan langkah perlindungan bersesuaian ketika berada dalam kemudahan tersebut.
"Buat masa ini, tahap radioaktif di luar Natanz kekal tidak berubah dan tiada kesan radiologi kepada penduduk atau alam sekitar," jelasnya lagi.
Sementara itu, Qatar memaklumkan ia mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengawasi paras radiasi kerana bimbang berlaku situasi di luar jangka. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

