Iran tolak tuntutan menyerah tanpa syarat Trump

TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Rabu menolak keras tuntutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menyerah tanpa syarat.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen kerajaan, Khamenei turut memberi amaran terhadap sebarang campur tangan ketenteraan AS dalam konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.
“Rakyat Iran tidak akan tunduk kepada ancaman. Bangsa Iran tidak boleh dipaksa menyerah.
“Amerika Syarikat perlu tahu bahawa sebarang campur tangan ketenteraan akan mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Trump menyuarakan kemungkinan untuk membunuh Khamenei, namun menarik balik hasrat tersebut buat masa ini.
Pada Rabu, Trump turut memberi bayangan bahawa AS berkemungkinan menyertai perang Israel menentang Iran.
“Tiada siapa tahu apa yang saya akan lakukan,” menurut Trump kepada media.
Terdahulu, Trump juga mendakwa bahawa Iran telah menghubunginya dan menyatakan kemungkinan satu pertemuan bakal berlangsung.
Bagaimanapun, misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan dakwaan itu dan menolak sebarang perundingan dengan AS.
“Tiada pegawai Iran pernah meminta untuk merangkak di hadapan pintu Rumah Putih,” tegas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!