AS siap siaga gempur Iran?

WASHINGTON - Presiden Donald Trump semakin cenderung untuk menggunakan aset ketenteraan Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, sekali gus mengetepikan idea penyelesaian diplomatik bagi menamatkan konflik yang kian memuncak bersama sekutu kuatnya, Israel.
Tindakan untuk 'campur tangan' yang dikhuatiri memburukkan lagi situasi di Asia Barat bukanlah perkara mustahil buat Trump yang sebelum ini menolak langkah tersebut memandangkan beliau diberi julukan sebagai 'Presiden pusingan U' kerana sering mengubah pendirian pada saat akhir.

Sejak Ahad, pentadbiran Rumah Putih mengadakan perbincangan tanpa henti untuk mencari jalan penyelesaian kepada perang proksi tersebut.
Tetapi, Trump dikatakan mula memberi isyarat kononnya beliau sudah tidak lagi mampu bersabar. Presiden ke-47 AS itu menolak bulat-bulat rancangan pelaksanaan gencatan senjata yang pada mulanya turut dicadangkan sendiri oleh beliau.
"Saya tidak begitu berminat untuk berunding dengan Tehran," katanya kepada wartawan di dalam pesawat rasmi, Air Force One sekembalinya dari Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada pada awal pagi Selasa.
Trump kemudiannya melancarkan perang retorik di platform Truth Social dan mendesak Iran 'menyerah diri tanpa syarat' dan turut mengancam Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
"Kami tahu lokasi Ali Khamenei walaupun AS belum mahu membunuhnya buat masa ini," menurut catatan provokasi itu lagi.
Sumber Rumah Putih memberitahu Trump buat masa ini juga menolak idea menghantar pegawai tertinggi bagi mengadakan pertemuan dengan wakil Tehran untuk mencapai satu perjanjian sebaliknya AS mula mengerahkan aset ketenteraan mereka secara berperingkat ke rantau tersebut.
Kerah aset ketenteraan berperingkat
Analisis imej satelit dilakukan AFP menunjukkan Washington telah menempatkan empat pesawat pengebom B52H Stratofortress yang boleh membawa senjata nuklear atau misil berpanduan tepat lain di pangkalan Diego Garcia di Lautan Hindi.
Gambar dikeluarkan Planet Labs itu mendapati ia tiba di pangkalan tersebut pada pertengahan Mei lalu.
Kemudahan itu yang disewa kepada AS oleh Britain merupakan pangkalan tentera utama mereka di rantau Asia Pasifik dan pernah digunakan sebagai hab untuk pesawat pengebom jarak jauh dan armada kapal ketika peperangan di Afghanistan serta Iraq.
"Sebuah pesawat pengangkut kargo dan C-17 Globemaster III bersama enam pesawat pengisian semula bahan api, KC-135 turut dilihat di pangkalan itu," menurut analisis itu lagi.
Pentagon pada Isnin mengesahkan ia menghantar 'keupayaan tambahan' ke Asia Barat setelah langkah sama dibuat Britain.

Dalam perkembangan berkaitan, USS Nimitz yang sepatutnya berlabuh di Vietnam meninggalkan Laut China Selatan menuju ke Laut Arab untuk menyertai armada kapal di bawah pelan luar jangka.
Pengerahan aset ketenteraan itu termasuk kira-kira 30 pesawat pengisian semula bahan api ke Eropah telah menimbulkan kegusaran tentang persediaan AS untuk terlibat dalam konflik Iran-Israel yang berisiko mencetuskan perang lebih dahsyat.
Trump berulang kali memberi amaran kepada Iran jika ia menyasarkan anggota tentera atau kepentingan mereka di Asia Barat sedangkan AS sendiri yang sengaja membangkitkan provokasi.
"Kami akan bertindak balas tanpa sebarang pertimbangan atau kompromi," kata Trump seakan-akan memberi bayangan ia kini siap siaga untuk berperang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

