Mohsen Fakhrizadeh, bapa nuklear Iran

Fakhrizadeh antara tokoh paling sukar dijejaki dalam dunia perisikan. Foto Agensi
Fakhrizadeh antara tokoh paling sukar dijejaki dalam dunia perisikan. Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Mohsen Fakhrizadeh bukan sekadar saintis, beliau simbol kekuatan nuklear Iran yang telah mencetuskan kebimbangan global sejak beberapa tahun lalu.

Dilahirkan sekitar tahun 1958 di kota suci Qom, beliau dibesarkan dalam persekitaran yang menitikberatkan hal keagamaan.

Minatnya terhadap ilmu fizik muncul sejak usia remaja, menjadikan beliau pelajar cemerlang yang sering mendahului rakan sebayanya.

Ketika Revolusi Islam bermula pada 1979, Fakhrizadeh menyertai barisan mahasiswa yang menyokong perubahan itu.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang fizik nuklear di Universiti Imam Hossein yang dikendalikan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Dari makmal ke medan strategi, beliau pantas dikenali sebagai aset penting kepada pertahanan negara.

Sumbangan penting

Ketika Perang Iran-Iraq tercetus, beliau menyumbang kepada pembangunan senjata dan teknologi strategik.

Artikel Berkaitan:

Pada awal 1990-an, Fakhrizadeh mula menerajui Projek Operasi Atomik Terhad Peringkat Pertama (AMAD) yang didakwa sebagai sebahagian program membina bom nuklear.

Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) menuduhnya mengetuai program rahsia senjata nuklear meskipun Teheran berulang kali menepis dakwaan tidak berasas itu.

Keupayaannya menyembunyikan jejak menjadikan beliau antara tokoh paling sukar dijejaki dalam dunia perisikan.

Fakhrizadeh jarang muncul di khalayak umum dan hanya satu gambar rasmi beliau pernah dikeluarkan.

Bekas Presiden Iran, Hassan Rouhani (kiri) menyampaikan anugerah kepada Fakhrizadeh. Foto Agensi
Bekas Presiden Iran, Hassan Rouhani (kiri) menyampaikan anugerah kepada Fakhrizadeh. Foto Agensi

Pada 2018, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa beliau sebagai ancaman utama keselamatan serantau hingga menyebabkannya menjadi sasaran musuh.

Beliau digelar sebagai 'Qasem Soleimani dalam dunia saintifik' oleh sesetengah tokoh revolusi Iran.

Generasi saintis

Sebagai pendidik, beliau turut membentuk generasi baru saintis yang kini mengendalikan program nuklear Iran.

Pada 27 November 2020, beliau terkorban dalam serangan berhampiran Teheran yang didakwa telah didalangi oleh rejim Tel Aviv.

Iran menuduh unit risikan Mossad menggunakan senjata kawalan jauh berteknologi tinggi untuk membunuh Fakhrizadeh.

Kereta dinaiki beliau yang menjadi sasaran serangan musuh berhampiran ibu kota Teheran pada November 2020 hingga meragut nyawanya. Foto Agensi
Kereta dinaiki beliau yang menjadi sasaran serangan musuh berhampiran ibu kota Teheran pada November 2020 hingga meragut nyawanya. Foto Agensi

Pemergiannya dianggap satu kehilangan besar, namun dijadikan inspirasi untuk mempercepatkan lagi pembangunan program nuklear negara itu.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkannya sebagai syahid agung dan mengarahkan kesinambungan projek saintifiknya.

Beberapa pusat penyelidikan dan universiti di Iran kini dinamakan sempena beliau sebagai simbol penghormatan atas sumbangannya.

Walaupun Fakhrizadeh sudah tiada, legasi dan namanya kekal hidup dalam setiap eksperimen nuklear Iran. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!