Malaysia perlu pimpin, jadi suara hentikan kebiadapan Israel - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu memimpin dan menjadi suara yang memecah kebisuan antarabangsa untuk memberhentikan kebiadapan rejim Zionis berikutan ketegangan serantau khususnya perkembangan membimbangkan antara Israel dan Iran.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pengerusi ASEAN 2025 tidak boleh berdiam diri sebaliknya mesti tampil memimpin.

"Saya menggesa kerajaan Malaysia memanggil sidang khas ASEAN-OIC untuk merumuskan langkah segera seperti gencatan senjata menyeluruh di Gaza, konflik Israel-Iran dan akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan.

"Antara lain, merancang tindakan sokongan terhadap siasatan bebas jenayah perang dan dorongan diplomasi tuntas ke arah penyelesaian adil berteraskan hak asasi rakyat Palestin," katanya di Facebook pada Rabu.

Beliau berpandangan, Malaysia tidak seharusnya menunggu sebaliknya mara ke hadapan dengan prinsip teguh, keberanian moral yang konsisten dan kewibawaan diplomatik mencerminkan suara kemanusiaan.

Lebih membimbangkan katanya apabila kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggesa rakyat awam Iran segera meninggalkan Teheran, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa rantau itu sedang diheret ke arah peperangan berskala besar.

"Jika tidak dibendung, kesannya akan menjangkau jauh melampaui Timur Tengah dan menggugat kestabilan global," ujarnya lagi.

Beliau menambah, kepimpinan dunia Islam amat ditagih pada saat genting ini, namun realitinya gagal untuk memimpin usaha kolektif untuk menegakkan keadilan.

Justeru, beliau menyeru masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara anggota ASEAN dan OIC supaya tidak lagi bertangguh dalam menghentikan segala bentuk kekejaman terhadap kemanusiaan sama ada di Palestin atau Iran demi kemaslahatan dan maruah kemanusiaan sejagat.

Artikel Berkaitan:

"PN berdiri teguh bersama rakyat Palestin tertindas dan menzahirkan solidariti terhadap semua mangsa kezaliman khususnya di Timur Tengah," menurut Muhyiddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!