[VIDEO] 'Cucu menangis minta tolong, anak menantu maut berpelukan'
PEKAN – [DIKEMAS KINI] Tangisan dan rayuan cucu menerusi panggilan video memaksa seorang wanita bergegas ke lokasi kemalangan membabitkan anak dan menantunya di Batu 8, Lepar, di sini, malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pasangan suami isteri, Jamal Azizul Samat, 44, dan Lizawati Abdullah, 41, meninggal dunia di lokasi selepas kereta Proton Wira dinaiki bersama tiga anak mereka bertembung dengan sebuah lori.

Ketika kejadian keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Muadzam Shah, Rompin dari Permatang Badak, Kuantan selepas singgah di rumah adik mangsa.
Ibu kepada Jamal Azizul, Som Hamzah, 65, berkata, dia mendapat panggilan video daripada cucu perempuannya sebelum terdengar tangisan selepas kemalangan berlaku.

"Cucu lelaki saya pula minta tolong katanya, ‘Umi, tolonglah... sakit sangat'. Masa itu saya terus ajak menantu pergi ke tempat kejadian.
"Saya tidak sempat fikir apa-apa, cuma sempat capai tudung dan terus keluar rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini pada Rabu.
Ibu kepada lapan anak itu berkata, sebaik tiba di lokasi, dia hanya mampu melihat dari jauh anak dan menantunya yang berpelukan di tempat duduk hadapan kerana tidak dibenarkan menghampiri kawasan kejadian.
Ujarnya, tiga cucunya berada di tempat duduk belakang dan cuba diselamatkan ketika kereta mula terbakar.
“Saya nampak dua cucu hulur tangan, panggil ‘Umi..tolong’, tapi saya tidak boleh dekat. Mereka sedang cuba selamatkan adik bongsu (cucu) sebab kereta sudah mula terbakar,” katanya sebak.
Som memaklumkan, kejadian menimpa anak dan menantunya itu mengingatkannya kepada pesan terakhir arwah sebelum ini.
“Dia pernah cakap, kalau jadi apa-apa, jangan pisahkan dia dengan isteri. Tidak sangka itu rupanya pesan terakhir arwah,” jelasnya.
Menurut Som, sebelum kejadian, arwah Jamal Azizul pernah menyuarakan hasrat untuk membeli tanah dan membina rumah baharu.
Bagaimanapun katanya, dirinya tidak menyangka hasrat Allahyarham itu menjadi antara perbualan terakhir dengan adik-beradiknya.
“Adik dia ajak beli kereta, tapi arwah tidak mahu. Sebaliknya dia hendak beli tanah.Tidak sangka itu rupanya kata-kata terakhir dia.” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Lizawati, Siti Manap, 65, memberitahu dia mengetahui tragedi yang menimpa anaknya itu selepas menerima panggilan daripada anak saudaranya lewat malam, Selasa.
“Saya terus pergi ke tempat kejadian, tapi bila sampai, memang sudah tiada ada sesiapa. Semua sudah dibawa ke hospital," katanya
Menurut Siti, kali terakhir dia bertemu arwah adalah pada bulan enam tahun lalu dan selepas itu mereka hanya berhubung melalui telefon melalui anak ketiga yang tinggal bersamanya.
Katanya, arwah sekeluarga ke Kuantan pada Selasa untuk bertemu keluarga iparnya dan mahu menikmati buah durian sebelum dalam perjalanan pulang ke Muadzam Shah, mereka terlibat dalam kemalangan.
"Saya jumpa arwah bulan enam tahun lalu selepas itu tidak jumpa, tapi arwah ada telefon anak dia yang duduk dengan saya (anak arwah yang ketiga).
"Arwah (maklum pada anaknya) hendak pergi rumah adik ipar (di Kuantan) makan durian dan ada hantar video, kata nak beli durian, makan dengan pulut... lepas itu nak balik rumah di Muadzam Shah,” katanya.
Ditanya mengenai urusan pengebumian, Siti berkata, pada awalnya ada cadangan untuk dikebumikan di kampung masing-masing, namun keluarga akhirnya bersetuju pasangan suami isteri itu dikebumikan di satu tempat demi kemudahan anak-anak.
“Mula-mula hendak kebumi berasingan, tapi saya cakap tidak payahlah sebab anak dia kecil lagi, nak pergi dua tempat susah,” katanya.
Jenazah pasangan itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Chini Timur 1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!