Suami isteri maut, tiga anak cedera nahas kereta dan lori

Keadaan kereta Proton Wira dinaiki lima sekeluarga yang remuk selepas terbabit kemalangan dengan lori di Batu 8, Lepar pada Selasa.
Keadaan kereta Proton Wira dinaiki lima sekeluarga yang remuk selepas terbabit kemalangan dengan lori di Batu 8, Lepar pada Selasa.
A
A
A

PEKAN - Pasangan suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 8, Lepar di sini, pada malam Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Jamal Azizul Samat, 44, beralamat di Felda Chini Timur 01 di sini, dan isterinya, Lizawati Abdullah, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, tiga anak pasangan itu yang berusia antara enam hingga 17 tahun dilaporkan cedera.

Lori dinaiki tiga pekerja terbalik selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 8, Lepar di sini.
Lori dinaiki tiga pekerja terbalik selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 8, Lepar di sini.

Menurutnya, pemandu lori, K Logesvaran, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dua penumpang lelaki berusia 24 dan 37 tahun cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori jenis Mitsubishi Fuso milik sebuah syarikat itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan, manakala kereta Proton Wira yang dinaiki lima sekeluarga itu datang dari arah bertentangan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, akibat kemalangan tersebut, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

“Semua mangsa yang cedera dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!