[VIDEO] Penduduk tidak tahan lagi, empat tahun 'diserang' lalat
JASIN – Lebih 1,000 penduduk dan peniaga sekitar Simpang Bekoh di sini bagaikan ‘diserang’ lalat sejak empat tahun lalu, namun keadaan menjadi semakin parah sejak empat minggu kebelakangan ini sehingga menjejaskan rutin harian penduduk.

Kehadiran lalat dalam jumlah banyak dipercayai berpunca daripada sebuah ladang ternakan ayam berhampiran kampung tersebut, sekali gus menimbulkan gangguan khususnya kepada peniaga makanan.
Peniaga kedai makan, Kamarul Zaman Ahmad, 60, berkata sebelum ini memang wujud masalah lalat, namun tidak seteruk sekarang sehingga pendapatannya merosot kira-kira 30 peratus.

Menurutnya, beliau bimbang jika keadaan ini berterusan, dia mungkin terpaksa menutup operasi kedai makan buat sementara waktu sehingga isu lalat selesai.
“Ada pelanggan sudah turun dari kereta, tetapi disebabkan lalat yang banyak, mereka membatalkan hasrat untuk makan di sini, seolah-olah kedai saya kotor.

“Tapi kalau tutup, banyak perkara perlu difikirkan termasuk bayaran gaji pekerja dan reputasi kedai,” katanya.
Seorang lagi peniaga di Medan Selera Simpang Bekoh, Aliza Alias, 40, turut senada dan memaklumkan ada pelanggan yang memarahinya serta mengeluarkan kata-kata kesat kerana sanggup berniaga dalam persekitaran yang dipenuhi lalat.
Menurutnya, meskipun meja dan lantai sering dicuci menggunakan cecair pembasmi lalat, namun langkah tersebut tidak mampu menghalang lalat daripada hinggap pada bekas makanan walaupun telah ditutup rapat.
“Masalah lalat memang berlaku secara bermusim, namun ‘musim’ kali ini adalah yang paling teruk, penuh lalat dan bising seperti sarang tebuan.
“Kami sudah buat pembersihan. Masalah ini bukan berpunca daripada kedai kami, tetapi dipercayai akibat aktiviti penternakan ayam yang menjejaskan rutin harian kami,” katanya.
Peniaga kari kambing, Nur Azzar Atan, 34, pula berkata beliau terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk membeli lilin, cecair pembasmi dan perangkap lalat.
Katanya, beliau turut menanggung kerugian apabila perlu menggantikan air atau lauk pelanggan yang telah dihidangkan tetapi dimasuki lalat.
“Dahlah pelanggan makin berkurangan, kami pula terpaksa menanggung kos tambahan, sedangkan masalah ini bukan berpunca daripada kami. Saya harap pihak berkuasa lebih kerap lakukan semburan kawalan lalat,” ujarnya.
Penduduk, R. Sekaran, 59, yang tinggal di Pondok Batang bersama anaknya, turut meluahkan kekecewaan dengan masalah lalat yang berlaku bukan sahaja di rumah, malah ketika makan di luar.
“Dekat rumah pun ada lalat, kedai makan pun sama. Memang tak selesa langsung nak makan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Simpang Bekoh, Roslan Mahpol, dan Sidang Simpang Bekoh, Abd Latif Arshad, turut menggesa pihak berkuasa mencari mekanisme lebih berkesan untuk mengatasi isu ini.
Menurut mereka, masalah dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembersihan reban ayam di 10 ladang ternakan sekitar kampung yang menyebabkan lalat berpindah ke kawasan kediaman dan perniagaan penduduk.
“Kita bimbang jika masalah ini berterusan, ia akan menjejaskan ekonomi penduduk atau lebih buruk, mencemarkan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan,” kata mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!