Kegiatan empat sahabat baik edar dadah sejak 9 tahun lalu tumpas

SEPANG - Sembilan tahun bergiat aktif menjadikan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan, akhirnya empat sekawan yang bersahabat baik sejak kecil diberkas pihak polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek yang merupakan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 39 tahun ditahan dalam dua serbuan pada hari sama di sekitar kawasan Sepang.
Beliau berkata, dua serbuan bermula jam 6 petang hingga 10.50 malam itu berjaya menemukan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM36,500.
"Kesemua suspek dari sebuah kampung yang sama dan telah berkawan baik sejak kecil.
"Kumpulan pengedaran dadah ini dipercayai telah aktif sejak 2016 dan bertindak sebagai 'transporter' dengan bayaran RM1,600 untuk satu penghantaran dadah," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Norhizam berkata, kumpulan pengedar dadah tersebut sukar dikesan ekoran menggunakan kereta sewa yang pelbagai bagi menghantar bekalan dadah.
Kata beliau lagi, mereka juga sukar dikesan kerana sering menyewa hotel bajet berbeza bagi mengelak daripada dikesan.
"Dua daripada empat sahabat baik ini yang merupakan pasangan suami isteri bertindak menyewa hotel berbeza bagi mengelak daripada dikesan pihak polis.
"Selain itu, modus operandi digunakan adalah menjadikan kereta sewa yang berbeza sebagai pengangkutan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah," ujarnya.
Tambahnya, saringan awal air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine, manakala suspek wanita negatif dadah.
Menurutnya, seorang suspek mempunyai enam rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah serta satu kes dikehendaki polis, manakala seorang lagi mempunyai lapan rekod lampau serta dikehendaki polis.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
