Sungai Juru tercemar, ternakan kerang terjejas

Perubahan ketara aliran air sungai dan peningkatan rumpai air menyebabkan kerang lebih mudah mati sebelum mencapai tempoh matang.
Perubahan ketara aliran air sungai dan peningkatan rumpai air menyebabkan kerang lebih mudah mati sebelum mencapai tempoh matang.
A
A
A

NELAYAN Kampung Kuala Juru, Pulau Pinang kini tersepit apabila kawasan ternakan kerang yang diusahakan sejak lebih dua dekad lalu terjejas teruk akibat lambakan rumpai air jenis keladi bunting yang memenuhi permukaan Sungai Juru sejak beberapa bulan lalu.

Bagi mereka, kemunculan pokok kemeling itu bukan sekadar gangguan biasa, malah menjadi mimpi ngeri yang mengancam hasil laut, merosakkan bot dan menyekat laluan sungai, sekali gus memusnahkan sumber rezeki yang menjadi nadi kehidupan penduduk setempat.

Selain itu, nelayan turut berdepan dengan pencemaran sungai yang dipenuhi sampah sarap, khususnya sisa plastik, yang turut memberi kesan kepada kualiti air dan ekosistem sungai.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI yang menyingkap penderitaan nelayan di sebalik krisis alam sekitar yang semakin meruncing ini.

Ternakan kerang seluas 8.9 hektar yang menjadi sumber rezeki utama nelayan di Kampung Kuala Juru kini berdepan ancaman serius akibat lambakan rumpai air jenis keladi bunting atau pokok kemeling yang memenuhi permukaan Sungai Juru sejak beberapa bulan lalu.

Lambakan rumpai tersebut bukan sahaja mencemarkan pemandangan dan menjejaskan ekosistem sungai, malah mengganggu pertumbuhan benih kerang yang memerlukan air bersih untuk hidup dan membesar secara sihat.

Keadaan itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana kawasan ternakan kerang berkenaan, yang diusahakan oleh Persatuan Nelayan Kampung Kuala Juru sejak lebih dua dekad lalu, menjana pendapatan sehingga RM150,000 sebulan kepada komuniti nelayan di kawasan tersebut.

Ketua Nelayan Kampung Kuala Juru, Wahid Othman, 57, berkata, perubahan ketara aliran air sungai dan peningkatan rumpai air menyebabkan kerang lebih mudah mati sebelum mencapai tempoh matang.

Artikel Berkaitan:

Wahid
Wahid

“Kami ternak kerang ini dalam masa setahun, barulah boleh dituai dan dijual. Tetapi sejak beberapa bulan lalu, kami terpaksa tukar kawasan ternakan disebabkan pokok kemeling yang sangat banyak.

“Kami risau kandungan ammonia dalam air makin tinggi dan boleh menyebabkan kerang mati sebelum matang,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Tambahnya lagi, kawasan tebing dan hilir sungai yang dahulunya sesuai untuk ternakan kini dilitupi sepenuhnya oleh tumbuhan air itu, sekali gus menyukarkan kerja pemantauan dan pembersihan kawasan ternakan.

“Selain menjejaskan kerang, kehadiran pokok kemeling juga menimbulkan masalah kepada operasi harian nelayan. Bot tersangkut, jaring koyak dan enjin rosak menjadi keluhan biasa sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Situasi ini semakin membimbangkan kerana laluan keluar masuk bot turut terjejas, terutama ketika air surut.

“Sungai ini bila air surut jadi sempit, bila ada pokok kemeling yang banyak, bot nelayan tersangkut. Tangkol, pukat semua rosak. Kalau enjin tersangkut, boleh rosak dan kena baiki, semua itu kos,” katanya.

Beliau menambah, kebanyakan nelayan bergantung sepenuhnya kepada hasil kerang sebagai sumber pendapatan utama dan jika masalah itu dibiarkan berlarutan, ia akan menyebabkan kerugian besar dan kehilangan hasil usaha selama setahun.

Tambah Wahid lagi, pencemaran sungai itu bukan sahaja berpunca daripada rumpai air, malah turut disebabkan sisa buangan plastik dari Sungai Rambai yang kemudian mengalir ke Sungai Juru dan seterusnya ke laut berhampiran.

“Masalah ini bukan perkara baharu. Aduan telah dibuat kepada pihak berwajib, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil.

“Kami kecewa kerana aduan yang dibuat selama ini tidak dipandang serius walaupun impaknya besar kepada pendapatan kami. Keadaan ini dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya tiada tindakan segera diambil.

“Kami bimbang kerang yang diternak akan mati sekiranya sisa plastik dan rumpai terus mendap di kawasan ternakan. Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian besar, malah menjejaskan keseluruhan industri ternakan kerang di sini,” katanya.

Beliau menambah, pokok kemeling berpotensi mencetuskan pelbagai masalah lain kepada alam sekitar termasuk mengubah komposisi oksigen dalam air, menyekat cahaya matahari dan menyebabkan pertumbuhan bakteria berbahaya.

Rayu pihak berkuasa bersihkan sungai

Susulan itu, nelayan Mohd Hilmi Ibrahim, 30-an berkata, pihaknya menggesa beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perikanan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) segera turun padang dan menyelaraskan tindakan pengurusan rumpai air yang semakin merebak di Sungai Juru.

Sisa buangan plastik dari Sungai Rambai yang kemudian mengalir ke Sungai Juru dan terus ke laut berhampiran.
Sisa buangan plastik dari Sungai Rambai yang kemudian mengalir ke Sungai Juru dan terus ke laut berhampiran.

“Kami tak minta banyak, cuma mohon pihak berkaitan bantu bersihkan sungai dan atasi masalah ini sebelum lebih banyak kerang mati. Kalau tunggu lagi, mungkin semuanya sudah terlambat.

“Kami juga mahu pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan turun padang melihat sendiri kesan pencemaran berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menjadi punca,” katanya.

Wahid menambah, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil terhadap pihak yang terbukti menjadi penyumbang pencemaran ini.

“JAS dan MBSP pula perlu menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan isu ini tidak berulang.

“Kami juga berharap kerajaan mempertimbangkan bantuan atau pampasan kepada nelayan dan penternak kerang yang terjejas teruk akibat pencemaran ini,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!