Sikap hipokrit media Barat makin terserlah

SIKAP berat sebelah media Barat terhadap konflik Palestin-Israel bukan lagi satu rahsia. Malah ia semakin jelas dan menjengkelkan apabila laporan mereka berkait serangan balas Iran terhadap Israel baru-baru ini ditampilkan seolah-olah Israel mangsa yang tidak berdosa.
Ironinya, selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun, kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat tidak mendapat liputan adil.
Ribuan nyawa terkorban termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas, ‘disembelih’ oleh bedilan peluru berpandu Israel. Namun, media arus perdana Barat memilih memekakkan telinga dan membutakan mata.
Mereka melaporkan konflik itu dengan naratif songsang – menggambarkan serangan Israel sebagai ‘tindakan mempertahankan diri’, manakala pejuang Palestin yang mempertahankan tanah air mereka pula dilabel sebagai ‘pengganas’.
Di manakah nilai kemanusiaan? Di manakah prinsip kewartawanan yang adil dan beretika?
Lebih menghairankan apabila Iran melancarkan serangan balas ke atas Israel – sebagai reaksi terhadap pembunuhan komander kanan mereka di Damsyik – dunia Barat dan medianya pantas menjerit, mengutuk, dan melaporkan peristiwa itu seolah-olah satu bencana global.
Hakikatnya, serangan Iran itu bersifat simbolik dan terkawal tetapi diberi liputan besar-besaran bagi membina naratif bahawa Israel teraniaya.
Perbezaan ketara dalam pemberitaan itu menunjukkan betapa hipokritnya sesetengah media antarabangsa yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia tetapi hanya memilih isu yang selari dengan ke-pentingan geopolitik negara-negara Barat.
Malaysia dan masyarakat antarabangsa yang cintakan keadilan tidak harus berdiam diri. Kita mesti terus bersuara menentang penindasan dan pembohongan disebarkan media tidak bertanggungjawab.
Dunia tidak boleh dikaburkan dengan naratif berat sebelah yang melindungi penjenayah perang dan menyembunyikan penderitaan mangsa sebenar.
Sudah tiba masanya media bebas dan masyarakat dunia membuka mata, menilai fakta dengan waras dan bersuara menuntut keadilan sejagat. Peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi membentuk persepsi dunia.
Apabila media Barat terus memanipulasi fakta dan menggambarkan Israel sebagai pihak teraniaya, mereka sebenarnya membantu menutup jenayah perang sedang berlaku di depan mata.
Ini bukan lagi soal propaganda tetapi pengkhianatan terhadap prinsip asas kemanusiaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!