'Suami kahwin lagi secara rahsia' – Isteri wakil rakyat buat laporan polis

Isteri kepada anggota Dewan Perwakilan Rakyat Kabupaten (DPRK) Bener Meriah, Aceh, membuat laporan polis terhadap suaminya selepas mendakwa lelaki itu berkahwin dengan wanita lain secara rahsia dan tanpa kebenarannya. - Foto Agensi.
Isteri kepada anggota Dewan Perwakilan Rakyat Kabupaten (DPRK) Bener Meriah, Aceh, membuat laporan polis terhadap suaminya selepas mendakwa lelaki itu berkahwin dengan wanita lain secara rahsia dan tanpa kebenarannya. - Foto Agensi.
A
A
A

ACEH – Seorang wanita membuat laporan polis terhadap suaminya yang juga anggota Dewan Perwakilan Rakyat Kabupaten (DPRK) Bener Meriah selepas mendakwa lelaki itu berkahwin dengan wanita lain secara rahsia dan tanpa kebenaran isteri pertama.

Wanita berkenaan, dikenali sebagai NV, 33, membuat laporan tersebut pada 14 Jun 2025 di Balai Polis Bener Meriah.

Menurut NV, selain berkahwin tanpa izin, suaminya, FG, turut gagal menunaikan tanggungjawab memberi nafkah sejak sekian lama.

Peguam NV, Fahrudin SH, memaklumkan bahawa tindakan FG melanggar Undang-Undang No. 1 Tahun 1946 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) di bawah Pasal 279 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

“Pasal 279 KUHP ini dengan jelas menyatakan bahawa berkahwin semasa masih terikat dalam perkahwinan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah,” ujar Fahrudin.

Menurutnya, perkahwinan baharu FG telah dilangsungkan pada 2 Jun 2025 di Kabupaten Gayo Lues, manakala majlis resepsi turut diadakan secara besar-besaran pada 9 Jun 2025.

“Kami belum pasti sama ada perkahwinan ini sah menurut undang-undang. Namun, berdasarkan bukti yang diperoleh, ia berlangsung dengan cukup meriah,” tambahnya.

Fahrudin turut mengecam tindakan FG yang disifatkannya sebagai tidak wajar untuk seseorang bergelar wakil rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai pemimpin masyarakat, FG sepatutnya memahami undang-undang dan bertindak beretika. Beliau masih terikat dalam perkahwinan sah dengan NV dan belum pernah mengemukakan sebarang gugatan cerai atau permohonan talak di mahkamah.”

Beliau juga menegaskan bahawa tiada kebenaran rasmi daripada mahkamah untuk FG berpoligami.

“Tindakan berkahwin tanpa kebenaran isteri pertama dan tanpa kelulusan mahkamah adalah pelanggaran undang-undang yang jelas,” tegasnya.

Sementara itu, NV meluahkan rasa kecewa bukan sahaja kerana dimadukan tanpa izin, tetapi juga kerana telah lama ditinggalkan tanpa sebarang nafkah.

“Lebih menyedihkan, nafkah pun tidak diberi. Jadi kami memilih untuk mengambil tindakan undang-undang demi menuntut keadilan,” katanya dalam keterangannya.

Fahrudin memaklumkan bahawa segala dokumen dan bukti telah diserahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dapat dimulakan segera.

“Kami mahu perkara ini menjadi pengajaran agar tiada lagi pemimpin yang sewenang-wenangnya melanggar undang-undang dan menzalimi pasangan mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!