[VIDEO] Lukisan bas, penghadang jalan dan mesej 'mati’ karya Mustaqim seolah petanda sebelum tragedi

A
A
A

BESUT - Lukisan bas, penghadang jalan dan perkataan 'kematian' yang ditinggalkan Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, 21, seolah-olah menggambarkan takdir hidupnya sebelum terkorban dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Tasik Banding, Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.

Ibu arwah, Juariah Abd Rahman, 48, berkata, tiga lukisan itu ditemui selepas dia mengemas semula barangan peribadi anaknya yang dihantar pulang ke rumah oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Juariah menunjukkan lukisan ditinggalma Allahyarham Muhammad Mustaqim yang memaparkan imej bas, penghalang jalan dan perkataan ‘mati’ ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telaga Nibong, Besut.
Juariah menunjukkan lukisan ditinggalma Allahyarham Muhammad Mustaqim yang memaparkan imej bas, penghalang jalan dan perkataan ‘mati’ ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telaga Nibong, Besut.

"Mustaqim memang minat melukis sejak sekolah tapi arwah jarang bercerita tentang lukisan dia.

"Bila tengok lukisan ada bas, penghadang jalan dan perkataan 'mati' , saya sebak dan tergamam.

"Saya rasa lukisan itu seolah petanda awal yang ALLAH tunjukkan kepada kami melalui karya arwah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Telaga Nibong, di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Lukisan bas, penghadang jalan dan perkataan 'kematian' yang ditinggalkan Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, 21, seolah-olah menggambarkan takdir hidupnya sebelum terkorban dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak.

Juariah berkata, dia tidak menyangka anak kedua dari empat beradik itu mempunyai peminat tersendiri yang mengikuti hasil seni lukisan di media sosial sehingga ada pihak yang mahu membeli hasil karya tersebut.

"Ramai minta untuk beli, tetapi kami sekeluarga sepakat untuk simpan hasil kerja Mustaqim sebagai kenangan. Ia terlalu bernilai untuk kami lepaskan," ujarnya sebak.

Sementara itu, bapa arwah, Rosde Yaakub, 58, berkata, seorang datuk saudara arwah turut berkongsi pernah bermimpi melihat Mustaqim memegang salah satu lukisannya.

Juariah dan suami, Rosde memegang karya seni anaknya, Allahyarham Muhammad Mustaqim ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Telaga Nibong, Besut.
Juariah dan suami, Rosde memegang karya seni anaknya, Allahyarham Muhammad Mustaqim ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Telaga Nibong, Besut.

"Lepas mimpi itu, dia minta satu lukisan milik arwah untuk disimpan sebagai kenangan.

"Kami beri tiga keping semuanya, termasuk dua kepada sahabat rapat arwah," katanya.

Arwah Mustaqim merupakan antara 15 pelajar yang maut dalam tragedi bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, di sini ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!