Nahas UPSI: Tabung KPT Prihatin kumpul RM1.7 juta sumbangan rakyat Malaysia

Tabung KPT Prihatin yang diwujudkan khusus bagi membantu waris serta mangsa nahas pelajar UPSI di Gerik, 9 Jun lalu berjaya mengumpul sumbangan RM1.7 juta dalam tempoh seminggu.
Tabung KPT Prihatin yang diwujudkan khusus bagi membantu waris serta mangsa nahas pelajar UPSI di Gerik, 9 Jun lalu berjaya mengumpul sumbangan RM1.7 juta dalam tempoh seminggu.
A
A
A

TANJUNG MALIM – Tabung KPT Prihatin yang diwujudkan khusus bagi membantu waris serta mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM1.7 juta dalam tempoh seminggu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dana itu dikumpulkan hasil inisiatif bersama lebih 40 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, agensi kerajaan serta syarikat korporat dari seluruh negara.

“Sumbangan ini merupakan satu usaha bersama dalam mengumpulkan sedikit dana sebagai tanda keprihatinan, solidariti dan simpati terhadap keluarga mangsa.

“Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia yang tampil menyumbang,” katanya selepas menghadiri Majlis Tahlil Perdana di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor UPSI, Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Menurut Zambry, Tabung KPT Prihatin dikendalikan sepenuhnya oleh UPSI menerusi akaun khas yang ditubuhkan selepas kejadian nahas tragis yang mengorbankan 15 nyawa pelajar UPSI.

Jelasnya, setakat ini sebanyak RM371,000 telah diserahkan kepada waris dan pelajar yang terkesan, manakala baki sumbangan akan terus diagihkan dari semasa ke semasa termasuk bagi menampung kos perubatan dan kebajikan dalam tempoh seminggu ini.

“Bantuan awal sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 telah pun disampaikan sejurus selepas kejadian, termasuk kepada keluarga mangsa yang cedera parah.

Artikel Berkaitan:

“Cuma selepas ini, saya serahkan kepada pihak UPSI untuk menguruskan dari segi pembahagian bakinya,” katanya.

Zambry.
Zambry.

Dalam pada itu, Zambry turut mengumumkan sumbangan sebulan gaji beliau kepada tabung berkenaan.

“Saya anggap ia satu sumbangan kecil. Kehilangan anak-anak ini jauh lebih besar daripada apa yang saya sumbangkan. Tidak perlu dihebohkan, saya hanya ingin bersolidariti bersama rakyat dalam saat duka ini,” katanya.

Sementara itu, hujan lebat mengiringi bacaan tahlil yang dipimpin oleh Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman bersama lebih 5,000 orang terdiri daripada pemimpin, pensyarah, kakitangan dan pelajar.

Turut diadakan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI, Muhammad Majdan Ismail.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!