Nahas pelajar UPSI: Enam mangsa masih dirawat di hospital

IPOH – Tiga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang cedera dalam kemalangan tragis bas meragut 15 nyawa rakan mereka di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada Isnin lalu masih menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dua daripada pelajar terbabit, Lili Suzana Mat Ya'acob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, 21, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala seorang lagi, Nur Liyana Zainudin, 23, menerima rawatan di Hospital Taiping.
“Selain tiga pelajar itu, terdapat tiga lagi mangsa terdiri daripada seorang wanita dan dua kanak-kanak yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza turut cedera.
“Mereka kini dirawat di Hospital Baling, Kedah,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.
Noor Hisam berkata, kesemua enam mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan positif setakat jam 9 pagi tadi.
Tambah beliau, seramai 15 individu termasuk dua pemandu bas turut dimasukkan ke empat buah hospital bagi mendapatkan rawatan akibat pelbagai kecederaan sejak hari kejadian pada 9 Jun lalu.
Katanya, kesemua mereka masing-masing dihantar ke HRPB di Ipoh, Hospital Taiping, Hospital Gerik dan Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, sebuah bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh MPV yang dinaiki empat sekeluarga berhampiran Tasik Banding.
Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas tamat cuti Hari Raya Aidiladha.
Nahas itu mengorbankan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan, manakala pemandu dan penumpang MPV mengalami kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!