3 kisah di Perak sarat pengajaran bermakna

Tiga kisah ini walaupun berbeza latar antara haiwan, pasukan keselamatan dan bakal pendidik, namun ia tetap memberi makna yang sama.
Tiga kisah ini walaupun berbeza latar antara haiwan, pasukan keselamatan dan bakal pendidik, namun ia tetap memberi makna yang sama.
A
A
A

NEGERI Perak terus menjadi perhatian rakyat di negara ini apabila dikejutkan dengan satu lagi insiden tragis yang menyaksikan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak pada awal pagi Isnin lalu.

Ketika kejadian, 42 pelajar menaiki bas persiaran disewa khas bertolak dari Jerteh, Terengganu untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak selepas tamat cuti menyambut Aidiladha.

Tragedi menyayat hati itu merupakan antara tiga kisah mengusik jiwa berlaku dalam tempoh kira-kira sebulan di negeri berkenaan yang bukan sahaja meruntun hati ramai pihak tetapi turut tersembunyi pelbagai pengajaran bermakna.

Insiden pertama membabitkan kisah seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang mati akibat dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi 11 Mei lalu.

Lebih memilukan, kisah tragis tersebut berlaku pada sambutan Hari Ibu, sekali gus mengajar kita bahawa naluri keibuan dan kasih sayang bukan hanya dimiliki manusia, bahkan turut dirasai oleh haiwan, walaupun tanpa suara.

Selang beberapa hari selepas itu, negara sekali lagi dikejutkan dengan kemalangan maut yang meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu.

Kemalangan membabitkan trak pasukan berkenaan dengan lori muatan batu kerikil itu turut menyaksikan beberapa lagi anggota FRU mengalami kecederaan.

Laporan Awal Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MoT) yang dikeluarkan pada Khamis turut mendedahkan lori terbabit nahas mengorbankan sembilan anggota FRU berkenaan dikesan membawa bahan muatan salah yang tidak selari kelulusan dibenarkan dengan berat muatan juga berlebihan.

Artikel Berkaitan:

Pada kejadian 13 Mei lalu, lori berkenaan membawa 40,960 kilogram (kg) batu kerikil, melebihi 70.67 peratus had yang dibenarkan iaitu 24,000 kg.

Meskipun seminggu sudah berlalu tragedi membabitkan pelajar UPSI berkenaan, namun kisah tragedi ini masih mendapat perhatian ramai apabila banyak kisah-kisah murni dan indah membabitkan mangsa 'terbongkar' serta wajar dijadikan contoh kepada lain.

Antara kisah masih hangat diperkatakan ketika ini ialah mengenai Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, yang disifatkan ramai pihak sebagai kematian yang dicemburui kerana amalannya ketika masih hidup.

Selain kisah anak kepada pasangan Azman Mohamad, 63, dan Kamariah Abdul Latif, 60, itu, ahli keluarga dan rakan terdekat mangsa nahas lain turut berkongsi sisi kebaikan masing-masing.

Seperti mana diperkatakan ramai, semasa hidup tidak ramai mengenali mereka, namun selepas dijemput ALLAH SWT untuk kembali ke 'negeri abadi' hampir seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesemua mangsa terkorban.

Tiga kisah ini walaupun berbeza latar antara haiwan, pasukan keselamatan dan bakal pendidik, namun ia tetap memberi makna yang sama iaitu kesedihan yang mendalam bukan sahaja kepada keluarga tetapi seluruh rakyat.

Benar, ajal dan maut itu ketentuan ALLAH SWT, namun di sebalik kisah menggoncang jiwa yang berlaku ini memberi pengajaran sangat bermakna, selain diharap membuka mata semua pihak untuk lebih berhati-hati ketika berada di atas jalan raya.

Sudah pasti, ketiga-tiga kisah ini akan meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi seluruh rakyat yang turut merasai kesedihan berkenaan.

Insiden seperti ini juga turut mengingatkan kita agar kembali kepada nilai-nilai asas iaitu menghargai nyawa, memperbaiki sistem dan terus berdoa agar tiada lagi jiwa terkorban akibat kelalaian atau faktor jalan yang tidak selamat ini.

* Nurul Huda Husain ialah wartawan Nasional Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!