Keperluan selaras pentadbiran Kerajaan Persekutuan, negeri elak konflik undang-undang - Fadillah

Fadillah
Fadillah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan keperluan penyelarasan pentadbiran antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mengelakkan konflik dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan hak asasi manusia di Malaysia.

Menurutnya, sistem perundangan negara yang berasaskan undang-undang British dan undang-undang Islam telah menimbulkan dilema dalam pelbagai isu pentadbiran, khususnya dalam urusan kekeluargaan dan pendaftaran perkahwinan.

"Di Malaysia, kita berdepan dengan cabaran kerana banyak amalan kita berpaksikan undang-undang British, sebelum diperkenalkan undang-undang Islam yang memfokuskan kepada kekeluargaan.

"Perkara ini menyebabkan berlakunya konflik dalam perundangan kita sendiri dan ia perlu diselesaikan secara berhemah supaya tidak mencetuskan isu politik memandangkan latar belakang rakyat Malaysia yang pelbagai," katanya ketika berucap di majlis perasmian Muzakarah Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah di sini pada Selasa.

Beliau berkata, penyelarasan pentadbiran penting dalam menangani isu perkahwinan yang berlaku di luar negara tetapi tidak didaftarkan di Malaysia kerana perkara itu memberi kesan besar kepada hak dan status anak.

"Kalau perkahwinan berlaku di luar negara tetapi tidak didaftarkan di dalam negara, timbul masalah pentadbiran. Anak tidak akan diiktiraf sebagai anak sah dan akhirnya tidak boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Ini bukan sahaja menimbulkan masalah kepada pasangan tetapi juga kepada anak kerana mereka tidak dapat menikmati faedah yang termaktub dalam dasar dan perundangan negara," jelasnya.

Ujar Fadillah,  isu perkahwinan campur yang menimbulkan persoalan berkaitan hak ke atas tanah rizab Melayu dan status anak di bawah undang-undang negeri, terutamanya di Sabah dan Sarawak sering dibangkitkan sebelum ini. 

"Kalau berlaku perkahwinan campur antara kaum, contohnya antara Melayu dan Cina, timbul persoalan sama ada mereka layak mendapat hak ke atas tanah rizab Melayu, apatah lagi jika mereka tidak boleh berbahasa Melayu walaupun memeluk Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu-isu seperti ini memerlukan rundingan berterusan dan muzakarah yang melibatkan kerajaan negeri agar dasar kebangsaan dapat diselaraskan dan tidak bercanggah dengan pentadbiran di peringkat negeri.

“Kita kena adakan lebih banyak muzakarah dan perundingan supaya negeri dapat berbincang dan kita dapat wujudkan dasar kebangsaan yang bukan sahaja selaras dengan nilai antarabangsa tetapi juga sesuai dengan tuntutan agama dan maqasid syariah,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya isu-isu tersebut terus dibawa ke mahkamah tanpa penyelesaian pentadbiran yang tuntas, ia berpotensi menimbulkan ketidakadilan dalam sistem perundangan sivil dan syariah terutamanya berkaitan kesaksian saksi yang mungkin ditolak disebabkan latar belakang mereka.

“Kalau tidak diselesaikan, ia akan membawa kepada konflik tafsiran undang-undang sivil, syariah dan juga hak asasi manusia dalam semua aspek,” jelasnya.

Fadillah menegaskan bahawa usaha penyelarasan pentadbiran adalah penting untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, terutamanya hak anak dan wanita.

Beliau berharap muzakarah seperti itu menjadi permulaan untuk melahirkan resolusi yang boleh dibawa ke peringkat pelaksanaan di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Akhirnya kita mahu mencari jalan tengah dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat disebabkan sejarah dan latar belakang perundangan negara kita sendiri,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!