Rakyat Kedah perlu jadi 'mata, telinga' kerajaan negeri

ANAK BUKIT - Kehadiran spesies ikan asing atau invasif seperti ikan bandaraya, peacock bass dan baung ekor merah di perairan negeri ini semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera untuk mengekang ancaman terhadap biodiversiti akuatik.
Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, spesies asing ini bukan sahaja mengganggu keseimbangan ekosistem semula jadi, malah turut mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan seperti jelawat, baung dan lampam.
Menurutnya, semua rakyat Kedah perlu menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dalam memelihara Sungai Kedah, serta tidak melepaskan ikan asing ke habitat semula jadi atau membuang sisa ke dalam sungai, selain melaporkan aktiviti penangkapan haram atau pencemaran.
“Ingatlah, sumber ini bukan sahaja milik kita hari ini, tetapi warisan kepada anak cucu kita kelak.
“Kita bukan sekadar memburu ikan asing semata-mata, tetapi kita sedang mengambil langkah konkrit bagi memulihara ekosistem akuatik yang semakin terancam.
“Ia juga sebahagian daripada pelan pengurusan ekosistem untuk mengawal dan mengurangkan impak spesies invasif terhadap biodiversiti tempatan,” katanya selepas perasmian penutup program inventori perikanan darat dan pemburuan spesies ikan asing peringkat negeri di perkarangan Masjid Alor Madi, pada Ahad.
Dzowahir berkata, kelestarian sumber perikanan tidak akan tercapai jika habitatnya terus tercemar atau musnah akibat pembangunan tidak terkawal.
“Program sebegini penting untuk mendidik masyarakat tentang bahaya spesies invasif serta kepentingan memelihara sumber perikanan kita secara lestari,” ujarnya.
Menurutnya lagi, tanpa penyertaan dan kesedaran masyarakat, usaha pemuliharaan ini tidak akan kekal dan komuniti setempat perlu diberikan peranan dalam memantau dan melaporkan kehadiran spesies asing ini.
“Penglibatan aktif daripada komuniti seperti nelayan sungai, pemancing, penduduk setempat serta golongan muda harus menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa. Mereka inilah yang paling awal melihat perubahan di sungai dan paling dekat dengan sumber perikanan itu sendiri.
“Dengan adanya kombinasi pengetahuan tempatan, digabungkan dengan usaha pihak berkuasa dan pengkaji, kita mampu menjadi benteng utama dalam mengekang ancaman ini,” jelasnya.
Dzowahir tegaskan, selain memburu ikan asing, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada pemuliharaan habitat semula jadi seperti sungai, tasik dan paya bakau.
“Program Inventori Ikan Sungai Kedah selama tiga hari ini merupakan inisiatif penting bukan sahaja untuk mengenal pasti status biodiversiti akuatik, termasuk populasi spesies asli seperti udang galah, jelawat, baung dan lampam.
“Ia juga mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga kelestarian sungai. Ini kerana Sungai Kedah bukan sekadar laluan air semula jadi, ia nadi kehidupan ribuan komuniti, menjadi sumber air, rezeki, tempat rekreasi serta habitat pelbagai spesies air tawar yang semakin terancam,” katanya.
Dzowahir berharap agar usaha bersepadu antara komuniti, agensi kerajaan dan pengkaji akan menjadi benteng utama dalam mempertahankan ekosistem akuatik daripada terus diancam spesies invasif serta pencemaran alam sekitar.
“Tanpa data sahih dan terkini, sukar untuk kita membuat perancangan pemuliharaan yang berkesan. Semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada gerakan pemuliharaan lebih menyeluruh dan berterusan.
“Sepanjang program tersebut, pasukan berjaya mendaratkan seekor ikan jelawat seberat 3.3 kilogram, sekali gus membuktikan ekosistem Sungai Kedah masih baik dan berpotensi sebagai habitat semula jadi yang subur,” katanya.
Dzowahir memaklumkan, program tersebut turut menawarkan demonstrasi penyelenggaraan enjin sangkut kepada komuniti nelayan darat serta kursus pemprosesan produk berasaskan ikan termasuk pembuatan bebola ikan daripada ikan toman.
“Inisiatif sebegini penting untuk memberi pendedahan dan kemahiran kepada penduduk setempat agar mereka bukan sahaja dapat menjaga sungai, tetapi memanfaatkan hasilnya untuk meningkatkan pendapatan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!