Tiada lagi 'formula' Rafizi

PENGUNDURAN Datuk Seri Rafizi Ramli selaku menteri ekonomi secara rasmi hari ini menjadi topik perbualan wargamaya khususnya mereka yang meminati dunia politik tanah air.
Segelintir berpandangan bahawa Rafizi sememangnya ‘anak jantan’ kerana tetap berpegang pada janji akan melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya kalah pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei lalu dan kata-kata itu dibuktikan serta-merta.
Tidak kurang juga yang melampiaskan komen nista dan sindiran kononnya Rafizi merajuk hanya kerana tidak dipilih serta gagal mempertahankan jawatan disandang beliau.
Meskipun ramai tidak menyukai pendekatannya yang tegas dan berprinsip, kenyataan bahawa beliau menteri yang bekerja untuk rakyat usah dinafikan.

Atas dasar prinsip demokrasi, beliau katanya ingin memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan agenda kerajaan.
Tidak lama kemudian, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengikuti jejak langkah Rafizi iaitu melepaskan jawatan dalam Kabinet lantas mengejutkan ramai pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan sempat mempelawa kedua-duanya untuk kekal berada dalam Kabinet, namun masing-masing memutuskan mahu fokus terhadap kawasan Parlimen sahaja.
Usai berita pengunduran Rafizi dihebahkan, pastinya ramai tertanya-tanya status dasar ekonomi utama seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Dasar Gaji Progresif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang digerakkan beliau.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, inisiatif tersebut tetap diteruskan walaupun Rafizi tidak lagi menerajui Kementerian Ekonomi selepas ini.
Beliau berpendapat, tiada sebarang isu bakal timbul memandangkan pelaksanaannya dipantau pihak kementerian.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut senada dengan Muhammad Kamil sekali gus menekankan bahawa perubahan kepimpinan tidak sepatutnya membawa kepada perubahan dasar secara menyeluruh.
Beliau menegaskan, dasar yang dirangka Rafizi tidak dibuat secara bersendirian, sebaliknya ia hasil perbincangan dan keputusan secara kolektif bersama pegawai tertinggi kementerian.
Anwar selaku ketua kerajaan juga menegaskan bahawa Kementerian Ekonomi tidak akan dibubarkan, sebaliknya ia akan terus memainkan peranan penting dalam merancang pembangunan negara dan melaksanakan dasar ekonomi semasa.

Memandangkan hari terakhir Rafizi disambut secara tertutup, beliau beranggapan ilmu dipelajari daripada penjawat awam di Kementerian Ekonomi sebagai cenderahati terbesar yang akan dikenang sampai bila-bila.
Lihat sahaja perkongsian beliau di Facebook baru-baru ini, riak wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang kekesalan, malah sempat tersenyum lebar sambil merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan.
Namun, di sebalik momen terakhir tersebut, sedarlah bahawa kita sudah hilang sentuhan tokoh reformasi bernama Rafizi Ramli.
Sudah semestinya individu yang bakal menggantikan kedudukan beliau dalam Kabinet berdepan cabaran besar iaitu menyambung semula rencana Rafizi atau melaksanakan dasar baharu.
Calon terpilih juga pasti tidak dapat lari daripada hujatan dan hinaan wargamaya selepas ini, sepertimana dirasai Rafizi sepanjang lebih dua tahun memegang jawatan menteri ekonomi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

