Keputusan Perdana Menteri, bukan saya - Johari

KUALA NERANG – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa sebarang perubahan dalam Kabinet adalah keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan dirinya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang mendakwa beliau bakal menggantikan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan sebelum ini.
"Itu tanya Perdana Menteri. Semua orang ada hak masing-masing, tetapi keputusan lantikan menteri adalah hak Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap di sini pada Sabtu.
Johari turut menekankan bahawa kerajaan ketika ini berada dalam keadaan stabil dan harmoni tanpa isu besar yang boleh mengganggu pentadbiran negara.
"Saya melihat kerajaan sekarang sangat harmoni. Tidak ada perkara besar yang berlaku, jadi kestabilan itu ada. Dengan kestabilan, kita boleh terus bergerak ke hadapan.
"Saya gembira berada di Kementerian Perladangan dan Komoditi kerana kementerian ini memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat luar bandar serta pemain industri yang terlibat dalam eksport produk-produk utama," ujarnya.
Beliau turut berkongsi pencapaian Malaysia dalam industri komoditi termasuk negara ini merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar dunia dengan nilai eksport RM114 bilion tahun lepas.
Menurutnya, pengeluaran koko walaupun dalam skala kecil, negara masih mencapai eksport bernilai RM15 bilion, hasil daripada proses tambah nilai.
"Getah pula, Malaysia menjadi salah satu pengeksport utama dunia dengan eksport mencecah RM15 bilion, hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
"Negara kini berdepan cabaran dalam mendapatkan bekalan getah sehingga terpaksa melakukan import," katanya.
Johari berkata, ini adalah kesinambungan kepada pembangunan yang telah dimulakan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional dan usaha ini masih diteruskan hingga kini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan sedang melaksanakan strategi untuk menggabungkan tanah-tanah terbiar agar dapat diusahakan semula bagi memberi manfaat kepada negara.
"Proses ini sedang berjalan. Seperti yang saya nyatakan tadi, ia merupakan salah satu strategi untuk memastikan tanah-tanah terbiar dapat digabungkan dan diusahakan semula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!