'Cenderahati terbesar saya bawa pulang adalah ilmu dari Kementerian Ekonomi' - Rafizi

Rafizi (tiga dari kiri) merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Foto: Facebook Rafizi Ramli
Rafizi (tiga dari kiri) merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Foto: Facebook Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan ilmu hasil tunjuk ajar penjawat awam sebagai ‘cenderamata terbesar’ yang dibawa pulang selepas menamatkan perkhidmatan di kementerian itu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

"Lazimnya kita mengingati kenangan manis dengan cenderahati, tetapi cenderahati terbesar yang saya bawa pulang adalah ilmu hasil tunjuk ajar kesemua penjawat awam sepanjang berkhidmat di Kementerian Ekonomi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, sebagai ketua dalam organisasi besar, seseorang itu perlu banyak bertanya dan belajar perkara baharu daripada penjawat awam.

"Sebab itu saya terhutang budi kepada semua penjawat awam ini. Saya banyak belajar daripada mereka dalam menjalankan tugas.

"Kalau penjawat awam kedekut ilmu, tidak memberi jawapan yang betul atau culas, maka menteri itu tidak akan membina kemahiran diperlukan dalam tempoh singkat.

"Kecuali kalau menteri itu sendiri tidak berminat untuk ambil tahu, lalu diserahkan urusan pentadbiran sepenuhnya kepada penjawat awam.

"Saya hanya ada pengalaman yang manis-manis belaka sepanjang berkhidmat di Kementerian Ekonomi," katanya.

Menurutnya, beliau tidak bimbang dengan kemampuan kerajaan merencana kemajuan negara kerana tulang belakangnya terdiri daripada penjawat awam yang sayangkan negara.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengemukakan surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka dalam pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau masih memberikan masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan untuk berfikir masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Bagaimanapun, keputusan Rafizi boleh dikatakan muktamad apabila beliau dilaporkan sudah mengemas barangan peribadi di pejabat kementeriannya.

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan menambah, skop Kementerian Ekonomi amat luas yang mana menterinya perlu mahir selok-belok pertanian, kesihatan, tenaga, pendidikan dan semua bidang lain selain daripada kebiasaan iaitu makroekonomi.

"Justeru, saya akan siarkan ucapan terakhir saya kepada Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat.

"Emel kepada setiap warga kementerian sebagai tanda terima kasih di atas budi baik mereka, saya akan hantar hari ini.

"Insya-ALLAH kita akan berjumpa lagi dan bila tiba masa, saya lebih kurus serta sihat dari sekarang," ujarnya dalam nada seloroh.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!