Dasar ekonomi di bawah Rafizi tetap diteruskan

SHAH ALAM - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan dasar ekonomi utama seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Dasar Gaji Progresif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan diteruskan meskipun Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, PADU misalnya, merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Rafizi tetapi ia merupakan dasar kementerian yang dilaksanakan secara berpasukan.
“PADU ini digerakkan oleh Rafizi dan agensi pelaksana ialah Kementerian Ekonomi. Justeru, inisiatif tersebut akan dipantau oleh pihak kementerian, jadi tak timbul isu pun.
“Saya percaya apa sahaja dasar yang telah dipersetujui dan memberi manfaat kepada rakyat akan terus digerakkan.
“Dasar Gaji Progresif juga sedang berjalan mengikut tahap dan keupayaan semasa dan memerlukan masa untuk dinilai keberkesanannya secara menyeluruh. Pelaksanaannya sudah tentu mengambil masa. Jangan gopoh,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persoalan besar mengenai masa depan beberapa dasar ekonomi utama termasuk PADU, Dasar Gaji Progresif dan RMK13 susulan pengunduran Rafizi sebagai Menteri Ekonomi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut senada dan menekankan bahawa perubahan kepimpinan tidak seharusnya membawa kepada perubahan dasar secara menyeluruh.
Beliau menegaskan, dasar yang dirangka Rafizi tidak dibuat secara bersendirian, sebaliknya adalah hasil perbincangan dan keputusan secara kolektif bersama pegawai tertinggi kementerian.
“Program atau projek yang digagaskan itu, mungkin ideanya datang daripada beliau, tapi kerjanya dibuat secara berpasukan. Keputusan mungkin dibuat dengan timbalan menteri, ketua setiausaha dan pengarah-pengarah di kementerian.
“Jadi, jika dasar tersebut memberi manfaat kepada rakyat, menteri pengganti perlu meneruskannya tanpa mengira siapa yang mengetuai kementerian itu,” jelasnya.
Ujar beliau, perubahan kepimpinan bukanlah satu masalah dan tidak bermaksud perlu mengubah dasar sedia ada.
Pada masa sama, beliau menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa RMK13 yang merangkumi hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan bermula pada 21 Julai depan.
Menurut beliau, kerajaan sudah bersedia dan pelaksanaan RMK13 akan dilakukan secara bersama.
“Maksudnya, draf itu akan disediakan dan akan disiapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

