Protes baharu landa Iran?

Pemerintah mendakwa protes ganas pada bulan lalu berpunca daripada intervensi AS dan Israel. - Foto Agensi
Pemerintah mendakwa protes ganas pada bulan lalu berpunca daripada intervensi AS dan Israel. - Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Demonstrasi antikerajaan kembali melanda ibu kota Iran pada Ahad selepas sejumlah individu melaungkan slogan mengecam pemerintahan teokratik di negara itu.

Tunjuk perasaan itu berlaku sehari selepas protes serupa diadakan di beberapa bandar utama di Eropah dan Amerika Utara.

Situasi di Teheran masih tidak menentu selepas pentadbiran diterajui Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei berdepan gelombang tunjuk perasaan ganas yang meragut ribuan nyawa pada bulan lalu.

Rangkaian media melaporkan kebanyakan demonstran melaungkan slogan menuntut pemerintahan monarki dikembalikan setelah digulingkan Revolusi Islam 1979.

Teriakan yang menentang pihak berkuasa turut bergema di beberapa bandar lain termasuk Shiraz di bahagian selatan dan Arak di wilayah tengah, namun tiada insiden keganasan tercetus.

Perkembangan terbaharu itu dikhuatiri menjejaskan pusingan kedua rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) yang bakal berlangsung di Geneva pada Selasa.

Sebelum ini, Washington menggunakan alasan gelombang protes di Iran untuk ia campur tangan selain mengancam mahu melancarkan tindakan ketenteraan.

Sebagai usaha mencapai kesepakatan segera dengan AS, Iran dikatakan sedia membuat tawaran yang akan memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua belah pihak.

"Kami sedang menilai kepentingan bersama dalam pelbagai bidang termasuk minyak dan gas serta pelaburan untuk sektor pelombongan dan pembelian pesawat," menurut Timbalan Pengarah Kementerian Luar bagi Diplomasi Ekonomi, Hamid Ghanbari. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Demonstrasi antikerajaan berlaku di Teheran selepas individu melaungkan slogan mengecam pemerintahan teokratik
  • Tunjuk perasaan di Teheran diikuti protes serupa di beberapa bandar utama Eropah dan Amerika Utara
  • Situasi tidak menentu menyusul gelombang tunjuk perasaan ganas yang meragut ribuan nyawa
  • Demonstran menuntut pemerintahan monarki dikembalikan setelah Revolusi Islam 1979
  • Perkembangan terbaharu tunjuk perasaan berpotensi menjejaskan rundingan bersama Amerika Syarikat di Geneva

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!