Pilihan Raya Israel: Tiada blok peroleh majoriti jelas

TEL AVIV - Keputusan awal Pilihan Raya Israel menunjukkan persaingan sengit antara blok pembangkang pimpinan Gadi Eisenkot dan gabungan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tanpa mana-mana pihak memperoleh majoriti jelas untuk membentuk kerajaan baharu.
Unjuran terkini tiga rangkaian televisyen utama Israel pada Rabu meletakkan blok Eisenkot di hadapan dengan 52 kerusi berbanding 50 kerusi diraih blok pimpinan Netanyahu.
Kedua-dua blok masih belum mencapai 61 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti dalam Knesset, Parlimen Israel yang mempunyai 120 kerusi.
Keputusan itu bermakna rundingan dengan parti-parti lebih kecil berkemungkinan memainkan peranan penting dalam menentukan pembentukan kerajaan seterusnya.
Parti-parti yang mewakili masyarakat Arab Israel yang digelar sebagai 'kingmaker' dalam politik Israel diunjurkan memperoleh sekitar 17 hingga 18 kerusi.
Bagaimanapun, peluang membentuk kerajaan turut bergantung pada pendirian politik dan kesediaan blok utama menjalin kerjasama dengan parti-parti tersebut.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Israel, kadar keluar mengundi direkodkan sebanyak 77.7 peratus yang merupakan angka tertinggi sejak 1999.
Keputusan rasmi masih belum diumumkan dan kegagalan mana-mana blok memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan boleh membawa kepada rundingan politik berpanjangan atau pilihan raya baharu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

