Trump bangkitkan cadangan Venezuela jadi 'negeri ke-51' AS

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa membayangkan kemungkinan Venezuela menjadi negeri ke-51 AS susulan peningkatan kerjasama minyak antara kedua-dua negara, lapor Anadolu Ajansi.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Venezuela kerana hubungan kita kini menjadi sangat baik, malah cukup erat," kata Trump kepada penyokongnya pada perhimpunan kempen pilihan raya pertengahan penggal di Corpus Christi, Texas.
Trump turut mengumumkan ketibaan sejuta tong pertama minyak percuma dari Venezuela menerusi perjanjian antara kedua-dua negara.
"Kejayaan bersejarah ini memberikan kita kawalan terhadap sebahagian besar bekalan minyak dunia," kata beliau.
Beliau berkata, minyak berkenaan akan ditapis di Texas, termasuk di Corpus Christi.
Trump turut mendakwa pelaburan yang dilaksanakan kini mewujudkan peluang pekerjaan di Venezuela pada skala yang sukar dibayangkan setahun lalu.
"Kita memperoleh banyak minyak untuk kegunaan sendiri. Venezuela akan menjadi sebuah negara makmur dan siapa tahu? Mungkin tidak lama lagi, ia akan menjadi negeri ke-51 yang makmur. Itu tidak mustahil," kata beliau.
Presiden AS itu kemudian mengulangi cadangan berkenaan dengan membayangkan Venezuela boleh mempunyai seorang gabenor menggantikan presiden. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
