'Saya buat semua ini demi Aniq Fitri' - Bapa anak OKU

Ros Efendi dan Azimah sentiasa memberi sokongan kepada Aniq Fitri.
Ros Efendi dan Azimah sentiasa memberi sokongan kepada Aniq Fitri.
A
A
A

SEREMBAN – Di sebalik kecekalan seorang remaja cerebral palsy mencari rezeki dengan menjual air di sekitar Senawang, tersembunyi kisah pengorbanan seorang bapa yang sanggup meninggalkan kerjaya demi memastikan anaknya hidup berdikari.

Lebih 10 tahun lalu, Ros Efendi Abd Rahman, 49, nekad berhenti kerja di sebuah syarikat pengiklanan demi memberi sepenuh tumpuan kepada anak tunggalnya, Aniq Fitri, 20, yang merupakan anak istimewa.

Menurut Ros Efendi, keputusan itu dibuat ketika Aniq berusia lapan tahun, selepas menyedari bahawa anaknya memerlukan perhatian khas termasuk rawatan fisioterapi secara berterusan.

“Saya dan isteri tidak pernah ada pengalaman atau pengetahuan menguruskan anak orang kurang upaya (OKU). Banyak perkara kami perlu belajar sendiri.

“Pada usia Aniq lapan tahun, saya ambil keputusan berhenti kerja kerana perlu fokus kepada keperluan dan rawatannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujarnya, ketika itu beliau kerap mengambil cuti untuk membawa Aniq menjalani rawatan susulan di hospital kerana anaknya masih belum boleh berjalan walaupun telah berusia 10 tahun.

“Bukan setakat fisioterapi, malah pemeriksaan mata, telinga dan ikhtiar berubat secara kampung turut dilakukan. Saya memang sibuk uruskan anak ketika itu.

“Disebabkan terlalu kerap cuti, majikan mula merungut dan akhirnya saya ambil keputusan berhenti kerja,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sejak itu, Ros Efendi menyara keluarga dengan mengambil upah membuat dekorasi rumah dan melakukan pelbagai kerja sampingan, namun keutamaan tetap diberikan kepada kebajikan anaknya.

Katanya, meskipun berstatus OKU, Aniq merupakan seorang yang cerdas dari segi pemikiran, namun sering berdepan tekanan kerana ingin hidup seperti insan normal lain.

“Pemikiran dia normal, tapi fizikalnya yang OKU. Jadi, emosi dia sangat penting dan saya perlu sentiasa ada untuk beri semangat.

“Setiap minggu saya bawa dia ke Kuala Lumpur untuk latihan bola sepak khas untuk anak-anak cerebral palsy. Dari situ, emosinya semakin stabil,” katanya.

Tambah beliau, Aniq mula menunjukkan minat untuk berdikari dan ketika berusia 17 tahun, meluahkan keinginan untuk menunggang motosikal.

“Saya hadiahkan dia motosikal roda tiga dan dia belajar sendiri. Pada usia 19 tahun, saya lepaskan dia bekerja dengan sebuah syarikat menjual air botol menggunakan motosikal tersebut.

“Pada mulanya saya ikut dia setiap hari demi pastikan keselamatan. Pernah beberapa kali dia kemalangan, tapi dia tetap bersemangat,” katanya.

Ros Efendi mengakui bahawa bukan mudah membesarkan anak OKU, apatah lagi Aniq tidak mempunyai adik-beradik untuk bergantung harap pada masa depan.

“Sebab itu saya korbankan masa sekarang, supaya dia benar-benar mampu berdikari bila saya dan isteri sudah tiada.

“Saya selalu pesan supaya dia kuat walaupun saya tahu jalan ini bukan mudah,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan tanggungjawab menjaga anak OKU sebagai amanah daripada Allah.

“Alhamdulillah, sekarang Aniq sudah ada pendapatan tetap. Saya rasa berbaloi semua yang saya lakukan.

“Nak jaga anak syurga bukan mudah, laluan ke syurga pun bukan percuma. Banyak dugaannya,” ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan kecekalan Aniq Fitri mencari rezeki selepas kisahnya tular di media sosial pada tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!